Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Buah Pinggang Sabah bagi menyokong usaha badan itu membantu pesakit buah pinggang di negeri ini.
“Wang ini akan diberikan dalam dua bayaran, RM50,000 sekarang dan RM50,000 lagi pada Julai atau Ogos,” kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Masidi Manjun pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Yayasan Buah Pinggang Sabah di Hotel Hilton, di sini, Khamis.
Masidi, yang juga Penasihat Kehormat Yayasan itu, turut memuji Pengerusinya Datuk Sri Rashid Liaw kerana sanggup menggunakan wang sendiri bagi memastikan operasi yayasan berkenaan dapat diteruskan.
“Saya tahu Datuk Rashid telah membelanjakan banyak wang sendiri untuk membiayai aktiviti ini,” katanya, menambah sumbangan Kerajaan Negeri itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha murni yayasan tersebut dalam menjaga kebajikan pesakit buah pinggang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak yayasan supaya terus mengekalkan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan dana agar setiap ringgit benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Sokongan itu menyusuli sumbangan kerajaan tahun lalu berupa 100 mesin hemodialisis kepada yayasan berkenaan.
Masidi berkata keperluan sokongan sedemikian amat nyata dan mendesak, memandangkan Sabah kini mempunyai kira-kira 460 mesin hemodialisis di hospital awam yang digunakan oleh sekitar 2,400 pesakit, iaitu secara purata satu mesin dikongsi oleh lima pesakit.
Menurutnya, angka tersebut bukan sahaja mencerminkan tekanan terhadap perkhidmatan kesihatan negeri, malah menggambarkan beban yang ditanggung pesakit, khususnya mereka yang terpaksa menempuh perjalanan jauh bagi mendapatkan rawatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Buah Pinggang Sabah memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan, bukan sahaja merawat pesakit tetapi juga menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
“Kita memerlukan NGO untuk membantu kerajaan, bukan sahaja merawat mereka yang sakit tetapi juga menyebarkan amalan kesihatan yang baik supaya orang ramai tidak perlu menjalani dialisis,” katanya.
Masidi turut menggesa yayasan tersebut supaya lebih proaktif dan strategik dalam memperluaskan perkhidmatan hemodialisis ke kawasan di Sabah yang masih belum mempunyai kemudahan berkenaan.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak takut untuk mendapatkan rawatan perubatan lebih awal, sambil mengakui beliau sendiri pernahmenangguhkan pemeriksaan kesihatan sebelum ini.
“Ramai orang menangguhkan untuk ke hospital kerana tidak mahu menerima hakikat bahawa mereka sakit. Saya sendiri pernah berbuat demikian dengan masalah belakang saya… sepatutnya ia boleh dirawat dengan lebih baik jika saya mendapatkan rawatan lebih awal.
“Kebanyakan penyakit, malah kanser, boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal. Kita mesti terima hakikat yang kita sakit dan kita perlukan rawatan… jangan tunggu sehingga terlalu lewat,” tambahnya.
“Apabila anda berada di dalam wad hospital dan anda keluar dari bilik anda, semua di sekeliling anda sakit. Ia memberi kesan kepada mental anda. Apabila saya pulang, saya melihat isteri saya,anak-anak, keluarga saya dan saya rasa lebih baik,” katanya, berkongsi pengalamannya semasa sedang pulih dua tahun lalu.
“Kesihatan adalah kekayaan kita. Masalah tidak dapat diselesaikan dengan hanya bimbang, tetapi dengan menghadapinya secara berani,” katanya, menegaskan pemikiran positif sama pentingnya dengan diet dan senaman.
Pada majlis itu, bantuan kewangan turut disampaikan kepada 10 pesakit dialisis. Acara berkenaan juga menghargai anggota perintis yayasan, termasuk wartawan jurugambar kanan Daily Express dan Overseas Chinese Daily News, Jimmy Goh, yang menerima pengiktirafan atas 25 tahun khidmat bakti kepada organisasi tersebut.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat Shah Alfie Yahya serta Adun Dilantik Grace Lee.