MENUMBOK: Sebuah bot penumpang terbakar di perairan antara Menumbok dan Labuan kira-kira jam 3 petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Wong Leong Ming berkata bot tersebut berlepas dari Menumbok sekitar jam 2.45 petang sebelum insiden berlaku berhampiran perairan Labuan, namun semua penumpang sempat menyelamatkan diri dan tiba di Pulau Batu.
“Mereka kini berada di Balai Polis Labuan untuk membuat laporan. Punca kebakaran sedang disiasat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Beliau berkata semua penumpang memakai jaket keselamatan dan terselamat.
Saksi Ahmad Said, yang abangnya merupakan pemilik bot, berkata bot tersebut biasanya membawa muatan penuh, namun semua penumpang selamat kali ini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut membantu memadamkan kebakaran.