TAWAU: Sebuah kedai menjual ikan di Bandar Sri Indah (BSI) Bati 10 Jalan Apas musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang mengejutkan orang ramai susulan kepulan api dan asap tebal menjulang tinggi dalam kejadian pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata kebakaran itu melibatkan premis TK Seafood Co berkeluasan 30 x 50 kaki yang dilaporkan terbakar 100 peratus.
Menurut beliau pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.28 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba pada jam 7.49 pagi yang kemudiannya segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air menggunakan sumber air dari tangki jentera,”katanya.
Jemishin berkata pasukannya berjaya mengawal api kebakaran pada jam 8.20 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.41 pagi selepas memastikan keadaan selamat.
Operasi itu membabitkan 15 anggota diketuai Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.