MUSIC Rights Sabah Berhad (MRS) menyambut baik penubuhan agensi berkaitan ekonomi kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Pengarah Urusan organisasi pengurusan kolektif (CMO) itu Mohd Ashraf Abdullah berharap usaha ini akan dapat memperkukuhkan jaringan ekosistem muzik tempatan sekaligus mewujudkan status industri di negeri ini.
“MRS percaya penggiat muzik etnik tempatan, termasuk pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik, dan syarikat penerbit tempatan, akan menikmati manfaat daripada inisiatif ini.
“MRS juga bersedia menjadi sebahagian daripada usaha ini demi kemajuan ekonomi kreatif Sabah dan akan terus memainkan peranan sebagai CMO di negeri ini, yang bertanggungjawab dalam aktiviti kutipan dan pengagihan royalti muzik etnik tempatan selaras dengan aspirasi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Isnin lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu pasca Pilihan Raya Negeri.
Pengumuman itu turut menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Apas), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, dilantik sebagai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Sebelum ini, kementerian berkenaan dikenali sebagai Kementerian Belia dan Sukan.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (Kokis), Matlan @ Raimon Sukudat berharap arena seni kreatif di negeri ini dapat berkembang dan berdiri sendiri pada masa depan dengan pewujudan kementerian tersebut.
Begitupun, katanya, kementerian perlu terlebih dahulu menjelaskan dengan lebih terperinci definisi serta fokus ekonomi kreatif.
“Ekonomi kreatif adalah bidang yang luas dan melibatkan pelbagai jenis seni. Jadi, kami sebagai penggiat seni perlu mengetahui apakah fokus utama kementerian ini dalam aspek ekonomi kreatif.
“Saya berpendapat kementerian perlu merujuk kepada Institut Pembangunan Sabah (IDS) kerana saya difahamkan IDS sedang dalam proses merangka Dasar Kreatif Sabah.
“Selain itu, kementerian juga perlu mengadakan sesi dialog bersama penggiat seni kreatif di seluruh Sabah. Mungkin juga boleh dianjurkan Konvensyen Industri Kreatif Sabah.
“Dengan adanya sesi perjumpaan secara fizikal, kami berharap dapat memberikan lebih banyak input untuk tujuan pembangunan industri kreatif,” katanya.
Matlan, yang juga Ketua Kombo RTM Sabah, turut mencadangkan agar Jabatan Muzik Sabah diwujudkan di bawah kementerian berkenaan.
“Sabah memiliki ramai komposer, penyanyi, pemuzik dan pencipta kandungan, namun kebanyakannya bergerak secara bebas (independent).
“Jabatan Muzik Sabah boleh berperanan menyelaras segala aktiviti muzik di seluruh negeri secara komersial.
“Ia juga dapat membantu melaksanakan pelan hala tuju pembangunan industri kreatif yang menyeluruh berdasarkan Dasar Industri Kreatif Sabah yang bakal dibangunkan kelak.
“Tetapi adalah penting untuk memastikan fokus genre muzik adalah menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada muzik bercirikan tradisi seperti muzik bambu.
“Akhir sekali, saya mencadangkan agar pegawai dan kakitangan dalam kementerian ini terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan serta kepakaran dalam bidang seni, sama ada dalam pengurusan, pengkaryaan atau sebagai penggiat seni,” katanya.