Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 54 tahun yang sebelum ini didakwa terlibat dalam kumpulan jenayah terancang berkaitan pengeluaran wang secara penipuan berjumlah RM24.2 juta daripada akaun simpanan tetap menangis teresak-esak selepas Mahkamah Tinggi membebaskannya pada Selasa.
Pesuruhjaya Kehakiman Ratanah Devi Yusof Perumal membebaskan Christina @ Caroline Pianus Etip selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadapnya.
“Berikutan pertuduhan terhadap tertuduh telah ditarik balik maka tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada mahkamah bahawa representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Christina telah diterima dan pihak pendakwaan tidak lagi berhasrat meneruskan pendakwaan.
“Pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh Christina dan memohon agar pertuduhan ditarik balik,” katanya.
Christina dan seorang lagi tertuduh Irene Chin Nyuk Thien, 38, sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana didakwa menjadi sebahagian daripada kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam aktiviti penipuan untuk mendapatkan faedah material.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 26 April hingga 10 Julai 2024 di sebuah cawangan Bank MBSB di bandar ini. Pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun.
Seramai empat saksi telah dipanggil memberi keterangan sebelum Christina dilepaskan. Perbicaraan terhadap Irene pula akan bersambung pada 10 Februari 2026.
Christina dan Irene adalah antara 10 individu yang didakwa pada 7 November 2024 atas kesalahan yang sama.
Lapan daripada mereka kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun kerana membantu kumpulan jenayah terancang.
Pada 13 Jun lalu tiga daripada lapan tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun manakala empat lagi dijatuhi hukuman tiga tahun enam bulan pada 12 Ogos. Seorang lagi tertuduh Mazlani Jenuary, 53, dijadualkan dijatuhi hukuman pada 12 Disember ini.
Turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah DPP Yazid Mustaqim Roslan. Christina diwakili peguam Amli Nohin.