Kota Kinabalu: Seorang wanita warga Filipina berusia 27 tahun didenda RM10,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis kerana tinggal lebih masa di Sabah selepas pas khas miliknya tamat tempoh.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Jessibel Tulio Espinosa selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Jessibel ditahan selepas didapati menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh ketika berada di sebuah kedai runcit di Penampang pada 26 Februari lalu.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Dalam mahkamah yang sama seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PTI) masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana memasuki negeri ini secara tidak sah.
Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa semua PTI tersebut ditahan dalam operasi berasingan di seluruh negeri selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Mahkamah memerintahkan warga Filipina dan Indonesia itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Gressia Yolanda Ismail Uvaraj, Kamrul Md Yusof dan Chin Tze Mee.