Kota Kinabalu: Seorang guru unit disiplin mengakui bahawa kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir berkemungkinan dapat dielakan sekiranya pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya terhadap satu aduan yang diterima pada 14 Mac lalu.
Nurul Syahada Ibrahim yang merupakan saksi ke-45 bersetuju dengan peguam Datuk Ram Singh yang menyoal tindakan sekolah berhubung aduan daripada ibu kepada Pelajar A dari bulan Mac hingga Julai tahun ini.
Beliau memberi keterangan bahawa unit berkenaan tidak menerima sebarang aduan daripada Zara selain aduan pada 14 Mac berkaitan gangguan seksual.
Ram: Jika tindakan yang sepatutnya diambil (menerima aduan dan mengambil tindakan) dilaksanakan sepenuhnya kematian Zara mungkin dapat dielakkan?
Nurul: Betul.
Ram: Aduan Zara dibuat pada 14 Mac 2025. Betul?
Nurul: Betul.
Ram: Dari Mac hingga kejadian pada bulan Julai bermakna para pelajar ini mengalami banyak salah faham. Betul?
Nurul: Betul.
Ram: Jadi sebagai guru disiplin kamu tidak menghentikan semua perkara tersebut (salah faham)?
Nurul: Pertama sekali kami benar-benar tidak menerima sebarang maklumat berkaitan Zara. Jika perkara itu sampai kepada kami ia pasti akan disiasat dengan segera.
Namun saya dengan yakin menyatakan bahawa Usra Puteri menjadi medium atau platform bagi kami dalam unit disiplin. Kami bertemu pelajar perempuan secara bersemuka serta menasihati dan mengingatkan mereka tentang adab yang perlu dijaga sepanjang masa. Walau apa pun yang berlaku kami telah melakukan yang terbaik untuk menangani perkara ini sebaik mungkin.
Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau berasa amat kesal dengan apa yang berlaku kepada Zara.
Dalam perkembangan sama Nurul berkata beliau tidak pasti sama ada perbuatan “Kak M” yang berkata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah-darah kau ni” dianggap sebagai satu kesalahan yang membawa maksud ugutan.
Menjawab soalan peguam Rizwandean M Borhan mengenai tindakan yang diambil terhadap “Kak M” selepas siasatan dalaman dijalankan Nurul berkata kes berkaitan
Zara telah diambil alih oleh pihak polis justeru mereka membenarkan polis meneruskan tindakan selanjutnya.
Beliau juga tidak pasti sama ada satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut.