DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan terhadap kejadian parkir haram di sebuah pusat komersial di Inanam dan Jalan Gaya selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai kesulitan yang berpunca daripada perbuatan tersebut.
Seorang pemandu mengadu tentang kenderaan yang diletakkan secara tidak teratur di empat jalan di kawasan Taipan, Inanam antara Jalan Kionsom dan Jalan Tuaran.
Seorang lagi pengadu memaklumkan kesesakan yang sering berlaku di satu bahagian Jalan Gaya pada waktu pejabat kerana banyak kenderaan parkir bertindan di hadapan sebuah bank sehingga mengecilkan laluan jalan.
Kedua-dua individu itu secara berasingan menyalurkan maklumat terperinci mengenai aduan mereka kepada Hotline sebelum perkara tersebut dipanjangkan kepada pihak agensi berkenaan.

Jurucakap Jabatan Penguatkuasaan DBKK berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan berkala di persimpangan Jalan Kionsom–Lorong Taipan 1 serta Lorong KK Taipan 2 dan Lorong Taipan.
“Hasil pemeriksaan seramai tujuh pemandu dikenakan kompaun kerana menghalang laluan dengan meletakkan kenderaan di salah satu daripada dua lorong di kawasan tersebut,” katanya.
Menurutnya empat anggota penguat kuasa dihantar ke kawasan Taipan pada waktu berbeza setiap hari bagi mengelakkan kejadian parkir haram berulang.
“Kenderaan dianggap parkir secara haram sekiranya diletakkan di kawasan tanpa garisan petak parkir.
“Ia dianggap kesalahan tanpa mengira sama ada kenderaan tersebut menghalang kelancaran aliran trafik di kawasan berkenaan atau tidak,” jelasnya.
Di bawah Undang-Undang Kecil (Peruntukan Tempat Letak Kereta) 2014 pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.
Katanya pesalah berulang atau mereka yang gagal membayar kompaun boleh dibawa ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata pihaknya juga menerima aduan mengenai parkir tidak teratur di Lorong Taipan 28/1 namun jalan tersebut bukan di bawah bidang kuasa DBKK.
“Kami tidak berupaya menangani masalah parkir di jalan ini kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kami.
“Bagaimanapun kami telah memaklumkan pihak pengurusan pusat komersial mengenai masalah ini dan menasihati mereka supaya mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.
Berhubung kes di Jalan Gaya, dua anggota penguatkuasa dihantar ke kawasan berhampiran Agrobank selepas menerima maklumat.
“Sebuah kenderaan pacuan empat roda dikesan diletakkan di atas pembahagi jalan namun pemiliknya segera mengalihkan kenderaan sebelum kompaun dikeluarkan.
“Individu itu diberi amaran keras supaya tidak mengulangi kesalahan,” katanya.

Susulan aduan kesesakan di kawasan tersebut DBKK akan meningkatkan rondaan dengan pemeriksaan harian pada waktu pagi dan petang bagi mengurangkan gangguan kepada orang awam.
LESTARI dari Inanam berkata keadaan trafik di sekitar Taipan semakin merosot dari masa ke masa.
“Selama bertahun-tahun saya perhatikan kenderaan termasuk lori diletakkan sesuka hati di banyak jalan di sini,” katanya.
Menurutnya dia telah membuat aduan kepada DBKK pada Januari lalu namun dimaklumkan sebahagian jalan di kawasan itu bukan di bawah seliaan agensi berkenaan dan perlu dirujuk kepada pihak pengurusan kawasan komersial.
Setakat ini Lestari menyatakan pemandu masih meletakkan kenderaan di tepi jalan di sekitar pusat komersial tersebut.
“Apabila saya bertanya kepada kakitangan DBKK mengapa perkara ini berlaku, saya diberitahu jalan-jalan ini bukan milik agensi berkenaan. Saya dinasihatkan untuk menyuarakan aduan kepada syarikat pengurusan di Taipan,” katanya.