PARTI Solidariti Tanah Airku (Star) menyokong pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor sebagai ketua menteri manakala Perikatan Nasional (PN) menyatakan bahawa ia akan kekal sebagai pembangkang.
Presiden Star Datuk Seri Jeffrey Kitingan
(gambar) mengesahkan bahawa dua ahli dewan perwakilan parti itu, beliau dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Datuk Ishak Ayub akan menyokong Hajiji.
Jeffrey mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula beliau sebagai ketua menteri dan turut menzahirkan penghargaan kepada pengundi yang memilih semula beliau di Tambunan serta menyokong Ishak untuk menjadi Adun Bingkor.
“Ke hadapan, Star komited untuk terus menyokong ketua menteri dan menyumbang secara membina kepada agenda pembangunan dan kestabilan kerajaan negeri.
“Sabah berhak mempunyai kerajaan yang saling bekerjasama, terutama dalam perkara melibatkan hak-haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatannya dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Bekas timbalan ketua menteri itu berkata parti beliau kekal komited untuk memastikan Sabah menerima haknya iaitu 40 peratus daripada hasil negeri.
“Kami bersedia menyokong apa-apa usaha yang tulus dan berani untuk memastikan hak Sabah terlaksana,” katanya.
Secara berasingan, pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu, melalui seorang ahli dewan tunggalnya, kekal komited untuk berfungsi sebagai “semak dan imbang” terhadap kerajaan negeri yang baharu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada ketua PAS negeri Datuk Aliakbar Gulasan atas pemilihannya sebagai Adun Karambunai, sambil menyifatkan keputusan itu memberi motivasi kepada PN untuk bekerja lebih keras di Sabah.
Aliakbar sebelum ini merupakan Adun Dilantik oleh pentadbiran Hajiji pada 2020.
Beliau berada dalam blok kerajaan sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri bulan lepas walaupun PN merupakan pesaing GRS di peringkat persekutuan.
Muhyiddin, presiden Bersatu, berkata PN akan menjalankan kajian menyeluruh dan post-mortem terhadap prestasinya pada pilihan raya Sabtu lalu untuk mengenal pasti cara meningkatkan kehadirannya di negeri Borneo itu.
“PN komited untuk menjadi suara berprinsip yang berfungsi sebagai semak dan imbang, memperjuangkan integriti dan kepentingan rakyat sambil menawarkan diri sebagai alternatif politik yang stabil dan matang,” katanya dalam satu kenyataan.