SANDAKAN: Dua wanita antara lapan individu yang ditahan dalam beberapa siri Op Tapis oleh polis Sandakan di beberapa lokasi sekitar daerah ini bagi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata seorang lelaki ditahan dalam operasi pada 29 Mac kerana disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuhnya sendiri di kawasan tepi jalan berhampiran Dewan Sibuga, Batu 8, di sini.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk ujian saringan awal air kencing dan didapati positif methamphetamine serta amphetamine sebelum ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pada hari sama, serbuan di sebuah bilik di Bandar Ramai-Ramai membawa kepada penahanan seorang wanita selepas ujian air kencingnya turut positif bagi kedua-dua jenis dadah terbabit dan ditahan di bawah seksyen sama,” katanya.
Menurutnya, operasi diteruskan dengan serbuan di sebuah rumah di flat tidak bernombor yang menyaksikan seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di bilik berasingan kerana memiliki syabu.
Ujian saringan mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan amphetamine dengan suspek wanita ditahan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) manakala suspek lelaki di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama.
Pada 27 Mac, tiga lelaki turut ditahan dalam operasi berasingan di Taman Kenari dan Batu Sapi atas kesalahan memiliki dan menggunakan dadah manakala seorang lagi lelaki yang dibawa oleh anggota Balai Polis Seguntur juga didapati positif dadah.
Kesemua suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan bagi membantu siasatan lanjut.
Di SEMPORNA, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menahan dua warga Filipina dan seorang lelaki tempatan dalam operasi berasingan di sini pada Isnin kerana kesalahan dadah.
Ketua Polis Daerah Superintendan Tan Hiap Wah berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang didapati memiliki 0.09 gram syabu dalam plastik lut sinar.
Suspek kedua seorang warga Filipina berusia 24 tahun, ditemui memiliki dua plastik mengandungi sejumlah 0.23 gram syabu. Kedua-dua suspek akan direman dan disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berasingan pada hari yang sama, polis menahan seorang lagi warga Filipina berusia 34 tahun selepas menemui 5.91 gram syabu yang disimpan dalam kotak rokok.
Dia akan direman bagi siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tan menegaskan Polis Semporna tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan atau pengedaran dadah dan akan terus mempergiatkan operasi di kawasan panas.