TAWAU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) yakin dengan peluang BN untuk merampas semula lima kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan.
Walaupun tidak menyatakan kerusi yang dimaksudkan, Presiden Umno itu mengakui beberapa kawasan seperti Balung, Apas, Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik mungkin memberikan cabaran kepada calon BN.
“Dalam tinjauan kita, saya dapati ada kawasan yang agak mudah untuk dimenangi semula tetapi ada juga yang lebih sukar. Bagaimanapun, saya sangat yakin dengan kualiti semua calon kita,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam Perdana dan Program Sentuhan Kasih Desa@Tanjung Batu di Kompleks Sukan Tawau.
Tegasnya, semua calon BN telah melalui proses tapisan yang teliti dan individu yang dipilih diyakini mempunyai potensi kemenangan yang kukuh.
“Saya sangat yakin dengan calon-calon BN sebab kebolehmenangan mereka tinggi. Kita juga minta mereka untuk istiqamah mendekati bukan sahaja ahli Umno,tetapi semua pengundi secara keseluruhan,” katanya.
Mengenai usaha lebih besar BN untuk mengembalikan kegemilangannya di Sabah, Zahid berkata ia bergantung kepada sokongan pengundi khususnya mereka yang masih mengingati era pentadbiran BN di negeri ini.
Beliau menekankan BN komited melaksanakan enam teras utama yang digariskan dalam manifesto parti komponennya, yang memberi tumpuan kepada aspek penting untuk rakyat Sabah.
Di bawah Rancangan Pembangunan Sabah Satu yang dilancarkan BN sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, enam tonggak utama terbabit ialah:
- Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup
- Pendidikan Berkualiti untuk Semua
- Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara
- Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat
- Negeri Berkebajikan
- Kelestarian Sumber Alam
Sementara itu, hampir 170,000 belia Sabah tidak mempunyai pekerjaan, kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kadar pengangguran negara, sekali gus yang memerlukan tindakan segera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Angka membimbangkan daripada Jabatan Perangkaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk mewujudkan peluang pekerjaan di Sabah bagi membendung penghijrahan besar-besaran orang muda untuk mencari kerja.
“Kita mesti mencari jalan penyelesaian kerana kita tidak mahu anak-anak Sabah terus berhijrah ke Sarawak, Lembah Klang atau Johor untuk mencari pekerjaan,” kata Ahmad Zahid.
Menyedari isu kritikal itu, kerajaan merancang mewujudkan peluang ekonomi dan memperluaskan institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) di seluruh Sabah, termasuk politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM) baharu di Tawau dan Kalabakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
“Tenaga kerja di sini mesti diberikan latihan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan Sabah. Ini bukan dibuat kerana musim pilihan raya, ini komitmen Kerajaan Persekutuan yang mahu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau turut menekankan potensi pertanian Sabah melalui kaedah pertanian moden sambil menegaskan, usaha mengurangkan pengangguran mesti seiring dengan penyelesaian tiga isu utama iaitu air, elektrik dan jalan raya bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.