Kota Kinabalu: Program Bingkisan Ihsan Sahur (Bis) anjuran Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) mengagihkan 1,500 bakul makanan ke 14 lokasi sekitar Kota Kinabalu pada Rabu.
Program yang disempurnakan Exco Agama Islam merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Datuk Dr Mohd Arifin Arif itu bertujuan menyemarakkan suasana sahur khususnya di penghujung Ramadan.
Beliau berkata, pengagihan Bingkisan Ihsan Sahur itu melibatkan beberapa lokasi utama termasuk hospital, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai bomba serta beberapa premis lain yang dikenal pasti.
“Sebanyak 1,500 bakul makanan disediakan dan diagihkan ke lebih 14 lokasi melalui tiga pasukan yang digerakkan secara serentak bagi memastikan sumbangan ini sampai kepada sasaran.
“Inisiatif ini juga adalah hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Muis, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta agensi-agensi berkaitan di bawah Jheains dan KKTP,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelepasan program berkenaan di Masjid Negeri Sabah, di sini.
Hadir sama Ketua Eksekutif Muis Datuk Ramlan Ag Ali dan Pengarah Jheains Awang Juri Awang Tahir serta barisan kepimpinan agensi di bawah institusi berkenaan.
Mohd Arifin berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu menyediakan juadah Sahur kepada petugas barisan hadapan tetapi menjadi platform memperkukuh hubungan dan kerjasama antara agensi kerajaan serta organisasi yang terlibat.
“Ini adalah usaha kita bersama untuk menjalin muafakat dan mahabah antara agensi, di samping mengeratkan hubungan dengan organisasi serta petugas barisan hadapan yang kita kunjungi.
“Program ini merupakan antara inisiatif berskala besar yang julung kali dilaksanakan, selain program ziarah sahur yang pernah diadakan sebelum ini termasuk di kawasan Pulau Gaya.
“Semoga usaha ini diberkati dan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat antara kita semua pada masa akan datang,” katanya sambil berharap program berkenaan membawa keberkatan kepada semua pihak, lebih-lebih lagi dilaksanakan pada penghujung Ramadan yang penuh kemuliaan,” katanya.