Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner pada Isnin diberitahu bahawa seorang warden telah membenarkan pelajar membersihkan kawasan tempat insiden membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Rezany Mohd Taupek, 45, ketika menjawab soalan pegawai pengendali Mohd Fairuz Johari berkata apabila seorang pelajar datang bertanya sama ada boleh membersihkan kawasan itu beliau hanya menjawab “ya”.
Fairuz: Ketika polis tiba di sekolah adakah semua kesan di tempat kejadian sudah dibersihkan?
Rezany: Saya tidak pasti.
Fairuz: Adakah anda tahu siapa yang memberi arahan supaya tempat kejadian dibersihkan?
Rezany: Saya tidak pasti.
Fairuz: Ada keterangan menyatakan bahawa anda yang mengarahkan tempat itu dibersihkan. Boleh jelaskan?
Rezany: Beberapa pelajar datang jumpa saya dan bertanya “Boleh kami bersihkan kawasan itu?” Saya kata boleh dan benarkan mereka.
Fairuz: Pelajar yang meminta izin untuk membersihkan kawasan itu — adakah ia merujuk kepada tempat Zara mula-mula jatuh atau tempat Zara dipindahkan?
Rezany: Pada mulanya saya sangka ia merujuk kepada tempat Zara dipindahkan.
Fairuz: Pelajar mana yang meminta kebenaran itu?
Rezany: Saya tidak ingat pelajar berkenaan.
Fairuz: Pelajar atau guru mana yang terlibat membersihkan tempat kejadian?
Rezany: Saya tidak ingat nama-nama pelajar tersebut.
Beliau juga tidak ingat berapa ramai pelajar yang terlibat membersihkan kawasan insiden itu.
Apabila ditanya mengapa beliau membenarkan pelajar membersihkan kawasan kejadian Rezany berkata ia kerana kawasan tersebut merupakan pintu masuk utama yang digunakan oleh pelajar.
Mengenai sebab beliau tidak menunggu polis tiba terlebih dahulu Rezany berkata perkara itu “tidak terlintas” di fikirannya pada waktu tersebut.
Berhubung penutupan telefon awam selama dua hari Rezany berkata ia dilakukan untuk mengelakan panik dan penyebaran maklumat yang tidak sahih kerana “perkara itu” masih dalam proses pengesahan.