Kota Kinabalu: Empat belia Bajau Laut tanpa kerakyatan yang juga pelajar didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memasuki negeri ini tanpa dokumen sah dengan tiga daripada mereka dibenarkan ikat jamin.
Dalam perkembangan jarang berlaku tiga tertuduh dibenarkan diikat jamin walaupun kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Mereka ialah Mohd Mansul Ajjili, 20; Jolina Julkipli, 21; Jay Jeriko Omar, 20 dan Mohd Haykal Nukiman Zulkifli, 22.
Kesemua mereka yang berasal dari Semporna kini menuntut di sebuah pusat pembelajaran alternatif, Development of Nature and Humanity dan dijangka menamatkan pengajian tahun depan. Sebahagian daripada mereka juga sedang menjalani latihan industri di beberapa organisasi.
Keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain selepas pertuduhan dibacakan pada Selasa.
Mereka didakwa memasuki Sabah tanpa dokumen sah selepas ditahan baru-baru ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu pertuduhan di mahkamah.
Kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Jolina, Jay dan Mohd Haykal diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan yang merupakan ahli keluarga atau individu yang membuat akuan berkanun bahawa mereka dilahirkan di Sabah.
Mereka juga diarahkan melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna sekali setiap bulan.
Sementara itu Mohd Mansul diperintahkan direman kerana mahkamah memerlukan dokumen mencukupi untuk membuktikan beliau dilahirkan di Sabah, berbeza dengan tiga tertuduh lain yang mempunyai dokumen sokongan.
Mahkamah menjelaskan bahawa keputusan sama ada membenarkan atau menolak ikat jamin bagi Mansul belum dibuat sebaliknya memberi masa untuk beliau mengemukakan bukti kelahiran di Sabah.
Mahkamah menetapkan 30 April ini untuk pengurusan kes praperbicaraan.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Inspektor Deanivo Sittin membantah permohonan jaminan atas alasan tertuduh tidak memiliki dokumen sah.
Bagaimanapun peguam Sherzali Herza Asli yang mewakili keempat-empat tertuduh mengemukakan beberapa akuan berkanun bagi menunjukkan bahawa tiga daripada mereka dilahirkan di Sabah.
Beliau turut memaklumkan bahawa ibu kepada dua daripada tertuduh adalah warganegara Malaysia dan pengesahan hubungan tersebut hanya boleh dilakukan melalui ujian DNA.
Sherzali berhujah bahawa Seksyen 6(1)(c) tidak sepatutnya digunakan untuk mendakwa atau mensabitkan individu tanpa kerakyatan.
Dalam prosiding sama Sherzali turut merujuk kenyataan Ketua Menteri bahawa kerajaan akan melindungi komuniti Bajau Laut namun tindakan penguatkuasaan masih diambil terhadap individu tanpa dokumen.
Beliau menegaskan bahawa tertuduh adalah Bajau Laut tanpa kerakyatan dan tidak wajar disamakan dengan pendatang tanpa izin (PTI) sambil menekankan bahawa istilah “Bajau Laut” penting bagi mencerminkan identiti mereka sebagai komuniti yang diiktiraf di Sabah.