Kota Kinabalu: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah mempertahankan cadangan infrastruktur dalam manifesto pilihan raya mereka termasuk rancangan Transit Ringan Kota Kinabalu serta pembinaan empangan baharu.
Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe berkata kerja menaik taraf sistem paip dan pembetungan adalah penting namun pembangunan pengangkutan awam juga perlu diberi keutamaan.
“Lihatlah bandar kita memang ada kereta api tetapi ia sudah ketinggalan zaman dan tidak seiring dengan perkembangan semasa.
“Saya fikir sudah tiba masanya kita merancang sistem pengangkutan awam yang lebih baik termasuk sistem rel yang memberi kemudahan kepada penduduk tempatan dan pelancong,” katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto gabungan itu pada Ahad.
Phoong turut mengulas kebimbangan terhadap cadangan rel ringan berikutan keadaan muka bumi Kota Kinabalu termasuk tanah tebus guna dan kewujudan lubang benam (sinkhole) yang boleh menjejaskan asas landasan.
Beliau mempertahankan cadangan pembinaan empangan sebagai langkah menangani masalah kekurangan air yang berlarutan meskipun sebelum ini calon PH-DAP Datuk Jannie Lasimbang membangkitkan isu alam sekitar berkaitan pembinaan empangan Penampang.
“Empangan perlu dibina kerana Kota Kinabalu telah berdepan masalah kekurangan air selama bertahun-tahun,” kata Phoong.
Sementara itu Pengerusi PKR Sabah merangkap Penyelaras PH Datuk Mustapha Sakmud mengaitkan cadangan infrastruktur ini dengan tuntutan Sabah untuk memperoleh hak 40 peratus hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Itulah sebabnya apabila kita mendapat 40 peratus itu kita mahu dana tersebut digunakan bagi meningkatkan infrastruktur. Mengenai isu sinkhole ini juga sebabnya kita perlukan dana 40 peratus itu,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju melaksanakan peruntukan MA63.
Mengenai janji manifesto untuk 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan Mustapha berkata agenda wanita kekal menjadi asas perjuangan keadilan.
Beliau mengakui kebimbangan berhubung PKR yang menampilkan hanya seorang calon wanita daripada 13 calon di Sabah namun menjelaskan bahawa parti itu tetap komited memastikan 30 peratus penglibatan wanita dalam Kabinet Negeri Sabah, kepimpinan GLC dan pentadbiran kerajaan tempatan.