Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) akan memperjuangkan Sabah dan Sarawak memegang 35 peratus kerusi Parlimen bagi memastikan suara kedua-dua wilayah tidak dipinggirkan dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Manifesto BN Sabah Datuk Noraini Idris berkata tuntutan itu menjadi antara inti pati utama di bawah Teras Keempat – Transformasi Tadbir Urus dan Perkhidmatan Awam dalam manifesto baharu, Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS 1).
Katanya kadar 35 peratus itu lebih tinggi berbanding penanda aras tradisi satu pertiga namun penting bagi memastikan tiada dasar Persekutuan boleh diluluskan tanpa persetujuan Sabah dan Sarawak.
“Jika hanya satu pertiga, dua pertiga lagi (Ahli Parlimen Semenanjung) masih boleh membuat keputusan tanpa kita. Dengan 35 peratus kerajaan Persekutuan perlu mendapatkan persetujuan Sabah dan Sarawak sebelum sebarang dasar digubal,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto di Bangunan Umno pada Sabtu.
Pelancaran manifesto disempurnakan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa jumlah kerusi Parlimen Sabah akan ditambah sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang namun tidak semestinya mencapai kuota satu pertiga di bawah MA63 memandangkan wujud tafsiran berbeza termasuk membabitkan penyertaan Singapura ketika pembentukan Malaysia.
Mengulas perkara itu Noraini berkata komitmen Putrajaya untuk semakan agihan kerusi perlu difahami sebagai satu proses rundingan.
Sementara itu ahli sekretariat manifesto BN Sabah Datuk Aziz Julkarnain berkata tuntutan 35 peratus konsisten dengan syor Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof yang lantang memperjuangkan pengembalian kuota asal bagi melindungi hak Sabah dan Sarawak.
Menurutnya Fadillah sebelum ini menegaskan bahawa kuota tersebut bukan tuntutan baharu sebaliknya suatu perlindungan asal ketika Malaysia dibentuk apabila wilayah Borneo bersama Singapura memegang kuota mencukupi bagi menghalang pindaan Perlembagaan secara unilateral oleh Semenanjung.
Aziz berkata perjuangan itu akan diteruskan kerana tanpa kuota tersebut Sabah dan Sarawak kekal terdedah kepada keputusan majoriti dari Semenanjung.
Dalam aspek lain Noraini turut mengumumkan cadangan BN Sabah untuk menambah enam lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan bagi memperluas representasi komuniti dan kumpulan khas di Dewan Undangan Negeri (Dun). Bagaimanapun ia memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Negeri.
“Kita mahu lebih banyak suara diwakili kerana tidak semua etnik ada wakil dalam Dun,” katanya.
Cadangan itu turut merangkumi penyertaan kumpulan istimewa seperti OKU, profesional dan tokoh berpengalaman yang tidak bertanding dalam pilihan raya.
Di bawah Teras Kedua – Wanita dan Belia Tiang Negara, Noraini berkata BN Sabah mencadangkan penubuhan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti di peringkat negeri bagi menyelaraskan dasar khusus wanita, kanak-kanak dan kebajikan sejajar struktur kementerian di peringkat Persekutuan.
“Pada masa ini Sabah hanya mempunyai Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan menterinya bukan semestinya wanita. Kita mahu kementerian khusus yang dipimpin wanita supaya isu wanita diberikan keutamaan,” katanya.
Sarawak katanya telah lama mendahului dengan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menggambarkan komitmen jangka panjangnya kepada pemerkasaan wanita.
“Sabah belum mewujudkan kementerian sebegitu kerana hal-ehwal wanita diletakkan di bawah portfolio pembangunan komuniti yang lebih luas.
“Cadangan ini adalah sebahagian usaha kami untuk memperkasa wanita secara holistik di Sabah,” katanya.