PUTATAN: Penyelarasan serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting bagi memperkasa sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan di Sabah, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Beliau berkata, meskipun tiga portfolio berkenaan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, terdapat isu yang boleh ditangani secara bersama di peringkat negeri.
“Ya, kita tekankan soal keselamatan rakyat Sabah. Kerajaan Persekutuan ada peranannya, tetapi kerajaan negeri juga boleh membantu. Apa yang saya sebut tadi ialah komitmen kerajaan negeri.
“Saya tahu isu yang wujud antara Persekutuan dan Negeri, namun usaha bersama untuk menambah baik keselamatan Sabah amat penting.
“Sabah mempunyai garis pantai yang panjang, berhampiran negara jiran, jadi ada isu keselamatan tertentu. Kita mahu pastikan rakyat Sabah tidak terkesan oleh kegiatan samun, lanun dan ancaman keselamatan lain,” katanya selepas pelancaran manifesto Tawaran Kasi Bagus Sabah oleh Perikatan Nasional (PN).
Manifesto PN itu merangkumi 12 teras utama dengan 159 tawaran bagi memperkasa rakyat Sabah dalam tempoh lima tahun sekiranya gabungan itu diberi mandat mentadbir negeri.