Kota Kinabalu: Seorang warden pada Rabu mendedahkan bahawa isu “lesbian” yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir hanyalah persepsi dalam kalangan pelajar apabila melihat dua pelajar perempuan yang sangat rapat.
Miswati Lundu, 37, yang juga guru di bawah Unit Bimbingan dan Kaunseling SMKA Tun Datu Mustapha berkata isu “lesbian” itu hanyalah “cakap-cakap” pelajar apabila mereka melihat Zara rapat dengan seorang rakan.
“Persepsi pelajar ialah apabila mereka melihat seorang pelajar perempuan rapat dengan seorang lagi rakan mereka terus membuat andaian tertentu.
“Itu hanyalah persepsi pelajar dan mereka tidak tahu situasi sebenar,” kata Miswati yang juga saksi ke-48 dalam inkues Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menjawab soalan Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari, Miswati berkata isu “lesbian” itu bermula dalam kalangan pelajar tetapi salah seorang daripada mereka telah membuat aduan mengenainya.
Membacakan kenyataan saksi Miswati berkata beliau menerima aduan mengenai isu “lesbian” daripada seorang pelajar yang mendakwa seorang lagi pelajar seolah-olah “lupa kawan” selepas berkawan dengan Zara.
“Semasa sesi kaunseling pada 5 Mac Zara dipanggil bersama pelajar yang membuat aduan itu.
“Zara pula menyatakan bahawa dia hanya mahu berkawan dengan pelajar berkenaan dan tiada hubungan lain seperti dakwaan ‘lesbian’ yang disebut pelajar lain.
“Selepas mendengar luahan dan penjelasan kedua-dua pelajar saya memberikan kaunseling serta nasihat berkaitan pemahaman diri, pengurusan emosi dan teknik menyelesaikan konflik secara matang.
“Sesi kaunseling kedua diadakan pada 14 Mac di mana Zara dipanggil bersama dua pelajar tingkatan satu, dirujuk sebagai Pelajar A dan seorang lagi pelajar.
“Sesi ini diadakan selepas sekolah menerima aduan daripada Pelajar A yang mendakwa pelajar berkenaan cuba menghidu bahagian sulit Zara.
“Zara menyatakan bahawa kejadian itu disaksikan oleh Pelajar A.
“Hasil siasatan dan sesi berkumpulan mendapati pelajar itu hanya bergurau dan hanya menghidu selimut Zara sambil menyebut ‘bau pepek’.
“Ketiga-tiga pelajar diberi peluang memberikan penjelasan masing-masing dan selepas mendengar semuanya saya menasihati mereka supaya tidak membuat andaian negatif tanpa bukti jelas,” kata Miswati.
Miswati memberitahu mahkamah bahawa satu ‘Laporan Satu Halaman’ bertarikh 14 Mac telah disediakan oleh Unit Disiplin bersama laporan sesi kaunseling tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain memanggil Zara dan pelajar yang membuat aduan beliau juga memanggil secara individu pelajar yang rapat dengan Zara.
Pelajar itu menjelaskan kepadanya bahawa dia dan Zara hanya berkawan dan tiada hubungan lebih daripada itu.
Menurut Miswati selepas sesi kaunseling tersebut beliau menasihatkan pelajar terbabit supaya berkawan dengan ikhlas.
Dalam ringkasanya Miswati menulis bahawa situasi tersebut berpunca daripada salah faham kerana pelajar yang menghidu selimut Zara menyatakan dia hanya bergurau dan tidak berniat melakukan perkara tidak senonoh.
Miswati turut memberitahu koroner bahawa sesi kaunseling kedua itu diadakan susulan aduan daripada ibu Pelajar A.
Beliau berkata sepanjang 2025 beliau telah mengendalikan kira-kira 60 sesi kaunseling termasuk sesi untuk lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak.
Katanya sesi kaunseling bagi lima pelajar itu dijalankan sebelum dan selepas insiden melibatkan Zara.
“Bagi Pelajar A sebelum insiden ia berkaitan gangguan seksual, pemindahan sekolah serta kehilangan barang dan wang.
“Bagi empat pelajar lain kaunseling selepas insiden pula berkaitan isu emosi akibat kejadian tersebut,” kata Miswati yang kini tidak lagi bertugas di sekolah itu kerana telah ditukarkan ke Jabatan Pendidikan Negeri.