Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah akan terus mengangkat isu berkaitan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sehingga ia selesai sepenuhnya.
Menurut Matbali ia penting kerana pelaksanaan keseluruhan projek berkenaan di Sabah sudah jauh ketinggalan berbanding Sarawak dan sehubungan itu katanya beliau akan membawa isu terbabit sekali lagi dalam perbahasan di persidangan Dewan Rakyat pada Jun depan.
“Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah penting untuk disiapkan segera kerana ia menjadi nadi perhubungan utama yang sekali gus pemangkin pembangunan ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Ramadan bersama media baru-baru ini.
Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia berkata isu projek Lebuh Raya Pan Borneo sering menjadi fokus perbahasannya di Parlimen sebenarnya adalah untuk menyampaikan `suara naluri hati rakyat di Sabah dan kini terdapat sedikit kemajuan selepas beliau sering membangkitkan perkara itu di parlimen.
Advertisement





