RANAU: Sabah merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, dan kedudukan ini membuka ruang kerjasama bagi membangunkan negeri, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi, calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, berkata Kerajaan Persekutuan juga sebahagian daripada Sabah dan negeri ini berhak menuntut hak-haknya.
Menurutnya, adalah lebih baik hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diperkukuh.
“Kini ramai pemimpin Sabah dalam Kerajaan Persekutuan memegang jawatan serta portfolio penting.
“Adalah lebih baik kita menjalinkan hubungan baik daripada bermusuhan dengan Kerajaan Persekutuan kerana banyak manfaat yang boleh diperoleh, dan kita juga berhak memastikan usaha membangunkan negeri ini direalisasikan,” katanya ketika bertemu penduduk di Dewan Kg Kibbas, Selasa.
Pada hari sama, Masidi turut melawat Dewan Kg Kibbas Atas dan Dewan Kg Lipasu Lama untuk beramah mesra dengan penduduk.
Beliau berkata dalam pilihan raya kali ini, GRS boleh membentuk kerajaan dengan mudah sekiranya memperoleh majoriti dua pertiga, iaitu 55 kerusi, menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kita bekerjasama dengan PH, namun kitalah yang menetapkan syarat dan membuat keputusan dalam mentadbir negeri ini. GRS telah menunjukkan kemampuan mempertahankan dan mengukuhkan hak kita.
“Oleh itu, marilah kita bersatu memastikan parti-parti tempatan terus menang,” katanya.
Masidi turut menyatakan bahawa kejayaan menubuhkan SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan negeri, merupakan pencapaian besar dalam usaha memperkukuh ekonomi Sabah.
“SMJ Energy ditubuhkan dengan modal RM50 juta hasil rundingan dengan Petronas untuk memberi Sabah ruang lebih besar terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas. Hari ini, syarikat ini bernilai RM5 bilion dari segi aset. Ini hasil hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan bertekad membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selaras dengan peranan syarikat itu sebagai entiti milik penuh kerajaan negeri dalam sektor minyak dan gas.
Masidi mahu pemimpin negeri mengutamakan suara rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan, bukannya terus berpolitik tanpa henti.
Beliau menegaskan perlunya kestabilan politik yang kukuh kerana hanya melalui keadaan yang stabil kerajaan dapat merancang dan melaksanakan pembangunan secara berkesan demi manfaat rakyat.