SANDAKAN: Kapal Pengawal Pantai AS, US Cutter, yang tiba di Pelabuhan Kelang dari Baltimore, AS pada September lepas, akan ditempatkan di perairan Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kapal maritim itu ketika ini sedang dalam proses renovasi dan selenggara berkaitan.
“Kita akan tempatkan kapal ini di perairan Sabah selepas proses selenggara siap sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Santai Madani bersama penduduk di Karamunting, di sini, Selasa.
Hadir sama, calon kerusi DUN Karamunting yang juga penyandang kerusi itu, Datuk George Hiew Vun Zin.
“Kita akan berbincang dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tentang di mana kapal itu akan ditempatkan di sini,” tambahnya.
Katanya, ini menunjukkan menjaga perairan di Sabah dan Sarawak adalah keutamaan negara, dengan aset strategik ditempatkan di sini, termasuk KM Fatimah yang ditempatkan di Sarawak.
“Selain meningkatkan lagi tahap keselamatan di perairan Sabah, ia juga menambah kepada keupayaan aset sedia ada di Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih George sebagai calon kawasan itu pada pilihan raya 29 Nov ini.
Sementara itu, George berkata, hasil tinjauan semasa kempen hari keempat menunjukkan penduduk menyambut baik kehadirannya selaku orang lama bagi pimpinan kawasan itu.
Karmunting mempunyai 19,000 pengundi dengan 6,000 daripada masyarakat Cina.
Beliau bertekad untuk menjadikan Kampung Pukat sebagai hab makanan laut yang boleh mengeksport hasil lautnya ke luar negara. Kampung itu terkenal dengan makanan laut dan juga masyarakat nelayan.
Manakala masalah air dan isu dibangkitkan rakyat juga akan cuba diselesaikan jika beliau diberikan mandat sekali lagi selepas menyandang kerusi itu selama tujuh tahun, termasuk semasa di blok pembangkang.