BEAUFORT: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Haji Noor yakin gabungan itu mampu memenangi lebih 40 kerusi, sekali gus meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri Sabah ke-17.
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) itu berkata keyakinan tersebut bersandarkan sokongan rakyat terhadap GRS susulan pembangunan yang dibawa melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0).
“Kita (GRS) bertanding di 55 kerusi dan kita yakin dapat menang lebih 40 kerusi… majoriti mudah, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS bagi DUN Lumadan dan Klias, di sini, Rabu.
Hadir sama, calon Lumadan yang juga penyandang kerusi berkenaan, Datuk Ruslan Muharam dan calon Klias yang turut merupakan penyandang, Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji yang mempertahankan kerusi Sulaman yakin kerusi Lumadan dan Klias juga akan terus menjadi milik GRS selepas pilihan raya ini.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang kedua-dua calon ketika mewakili kawasan masing-masing, khususnya dalam menyelesaikan masalah rakyat dan membawa kemajuan setempat.
“Kita yakin Datuk Ruslan dan Datuk Isnin akan mempertahankan kawasan masing-masing dan seterusnya menyumbang kerusi kepada GRS pada pilihan raya ini,” katanya.
Sementara itu, Ruslan berkata beliau yakin rakyat akan terus menyokong GRS susulan perubahan yang dibawa di kawasan tersebut, khususnya penyelesaian kepada masalah “tiga serangkai”.
Katanya, isu bekalan air, banjir dan jalan raya yang tidak pernah selesai sejak berpuluh tahun akhirnya dapat ditangani dalam tempoh singkat selepas diberi mandat pada pilihan raya lalu.
“Justeru, kita yakin rakyat pandai menilai prestasi kita dalam membawa perubahan di kawasan ini dan kita akan meneruskan pembangunan lain sebagai kesinambungan usaha memperkasa rakyat jika diberi mandat selepas ini,” katanya.
Isnin turut berkongsi keyakinan bahawa rakyat akan memihak kepada GRS dan terus menyumbang kerusi kepada gabungan itu pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata golongan muda juga diyakini bersama GRS hasil prestasinya sebagai wakil rakyat Klias sebelum ini yang sentiasa turun padang menyelesaikan masalah rakyat.
“Kita tunaikan apa yang kita janjikan sebelum ini, dan ia dapat dilihat apabila Klias kini sudah sifar miskin tegar; mereka yang tiada rumah kita bantu melalui program Rumah SMJ dan sebagainya.
“Justeru, saya yakin rakyat di semua peringkat akan terus menyokong GRS kerana kita telah membuktikan perubahan ketara di Klias,” katanya.