LAHAD DATU: Enam individu, termasuk dua kanak-kanak, cedera apabila kenderaan Toyota Hilux Single Cab (4WD) yang dinaiki mereka terbabas di KM33 Jalan Lahad Datu-Sandakan pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 8.16 pagi. Sepasukan sembilan anggota bersama jentera dan kenderaan EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, komander operasi melaporkan 4WD itu terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik di sisi jalan.
Enam mangsa terdiri daripada empat dewasa, seorang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan namun tiada yang tersepit di dalam kenderaan.
Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan EMRS, ambulans KKM serta ambulans Angkatan Pertahanan Awam.
Operasi ditamatkan pada jam 9.26 pagi selepas memastikan kawasan kejadian selamat.