Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Warisan bagi membatalkan keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Hakim Mahkamah Tinggi yang berpangkalan di Kuching, Wong Siong Tung dalam keputusannya melalui Zoom membenarkan bantahan awal yang dikemukakan responden pertama dan kedua serta notis permohonan responden ketiga untuk menolak petisyen tersebut.
Bantahan awal dikemukakan Pegawai Pengurus (RO) bagi DUN Karambunai dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, manakala permohonan untuk menolak petisyen difailkan calon PAS dari Perikatan Nasional, Datuk Dr Aliakbar Gulasan
(gambar).
Pempetisyen, Ahmad Jais Otong menamakan RO, SPR dan Aliakbar masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
“Mahkamah mendapati petisyen itu mempunyai kecacatan asas dan tidak boleh diteruskan. Sehubungan itu, petisyen ditolak,” kata Wong.
Pempetisyen diperintahkan membayar kos RM15,000 kepada responden pertama dan kedua secara bersama, serta RM15,000 lagi kepada responden ketiga, kata peguam Rizwandean Bukhary M Burhan yang mewakili Aliakbar bersama Shahlan Jufri.
Pempetisyen, diwakili peguam Chin Yean Yean dan Cason Chin, memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 29 Dis 2025.
Responden pertama dan kedua diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bersama Peguam Persekutuan Safiyyah Omar, Nur Akmal Mohamad Azri dan Nurul Muhaimin Mohd Azman.
Aliakbar memenangi kerusi itu dengan majoriti 365 undi. Ahmad memperoleh 6,689 undi berbanding 7,054 undi diraih Aliakbar dalam pertandingan 11 penjuru di Karambunai pada pilihan raya 29 Nov 2025.
Sementara itu, Mahkamah juga menolak petisyen yang difailkan calon Warisan, Datuk Harun Ismail, bagi mencabar kemenangan Datuk Seri Ruddy Awah daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas.
Wong membuat keputusan itu melalui prosiding Zoom selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Ruddy serta dua lagi responden terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan terhadap mereka.
Pempetisyen, Harun, 66, yang memfailkan petisyen itu pada 23 Dis 2025 menamakan Ruddy, 57, Pegawai Pengurus bagi kawasan Pitas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Wong ketika menyampaikan keputusannya, antara lain berkata: “Pempetisyen gagal mematuhi keperluan mandatori undang-undang dan tidak memanggil bidang kuasa Mahkamah ini dengan sewajarnya. Bantahan awal dibenarkan dan petisyen ini ditolak.”
Hakim turut memerintahkan pempetisyen membayar kos RM15,000 kepada responden pertama serta RM5,000 lagi kepada responden kedua dan ketiga secara bersama, kata peguam Shahlan Jufri ketika dihubungi.
Shahlan mewakili Ruddy bersama peguam Rizwandean Bukhary M Burhan, Rupilin Alik dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain.
Pempetisyen diwakili peguam Hairul Vaiyron Othman.
Responden kedua dan ketiga pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bersama Peguam Persekutuan Safiyyah Omar, Nur Akmal Mohamad Azri dan Nurul Muhaimin Mohd Azman.
Ruddy memenangi pertandingan enam penjuru bagi kerusi Pitas dengan 5,754 undi dan majoriti 1,565 undi, manakala Harun memperoleh 4,189 undi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 Nov 2025. Ruddy pada awal Disember tahun lalu dilantik sebagai Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah.