RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Paginatan Datuk Abidin Madingkir berkata adalah tidak masuk akal untuk merobohkan sebuah “rumah” yang mengambil masa lima tahun untuk dibina dan telah memberikan kestabilan politik kepada negeri buat pertama kali.
“Kita semua membentuk GRS yang ditubuhkan demi kebaikan rakyat Sabah dan dianggotai oleh gabungan parti-parti tempatan. Ini kerana prinsip. Kita telah membina rumah bersama, jadi mengapa perlu kita robohkannya?
“Kita telah berusaha keras selama lima tahun untuk mengangkat nama Parti Star sebagai salah satu komponen dalam GRS.
“Apabila Presiden memutuskan untuk merobohkan dan menafikan segala usaha kami, sudah tentu kami tidak bersetuju dengan tindakan itu,” katanya merujuk kepada keputusannya bersama lima lagi wakil rakyat Star untuk menjadi ahli terus Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurutnya, tekad GRS untuk memakmurkan rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah sangat kukuh dan mempunyai hala tuju jelas.
“Sepanjang lima tahun pemerintahan kerajaan GRS, banyak program berorientasikan rakyat telah dilaksanakan seperti Perumahan SMJ, bantuan RM300 sebulan kepada lebih 100,000 penerima berdaftar dengan e-Kasih, bantuan sekolah dan banyak lagi.
“Walaupun Islam adalah agama rasmi, agama-agama lain sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan GRS. Peruntukan untuk gereja turut ditingkatkan.
“Kerajaan GRS Plus juga berjaya meningkatkan hasil negeri, menambah jumlah pelaburan asing dan sudah tentu membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap di hadapan Pemegang Adat di Ibu Pejabat Empangan Lohan Ulu pada Sabtu.
Abidin turut menggesa mereka memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.
“Pemegang Adat adalah tonggak. Mereka merupakan tulang belakang perpaduan di kampung. Kekuatan kerajaan datang daripada perpaduan kukuh rakyat di peringkat akar umbi.
“Dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti, diharapkan kita akan menang dan kemenangan itu adalah kemenangan bersama rakyat Paginatan,” katanya.
Abidin, graduan Ekonomi dari Universiti Malaya yang juga pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-Undang di University of London serta memperoleh Sijil Amalan Guaman (CLP) di UM, berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 40 tahun termasuk 22 tahun sebagai Setiausaha Tetap di pelbagai kementerian.
“Saya pernah berkhidmat di Kementerian Pertanian (dua kali), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (dua kali), Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perindustrian serta Kementerian Pelancongan,” katanya.
Katanya, pengalaman bekerja di Unit Pembangunan Ekonomi telah memberi inspirasi kepadanya untuk merealisasikan penubuhan Bandar Baharu Paginatan.
Dua penggal sebagai Mayor DBKK juga memberinya pengalaman berharga tentang cara mentadbir dan mengurus bandar agar selesa untuk didiami rakyat.
Turut hadir, Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Arthur Sen, Pegawai Khas kepada Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, Pegawai Pembangunan Komuniti (CDO) Jipili Sigal, para pemaju Mukim Paginatan dan lain-lain.