RANAU: Golongan warga emas merupakan sumber pengalaman, kebijaksanaan dan nilai kehidupan yang amat berharga serta wajar diberikan penjagaan terbaik kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
“Mereka telah melalui pelbagai cabaran dan perubahan serta menjadi tonggak kekuatan kepada keluarga dan masyarakat.
“Oleh itu penghargaan yang diberikan amat wajar sebagai tanda terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan mereka,” katanya semasa Majlis Hari Warga Emas dan Penyampaian Sijil Kecemerlangan Akademik yang dianjurkan oleh Persatuan Hakka Ranau di dewan persatuan itu pada Ahad.
Masidi yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan Datuk Rusdin Riman turut mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan akademik pada majlis tersebut.
“Kejayaan yang dicapai adalah hasil usaha gigih serta sokongan ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling. Saya berharap para pelajar akan terus mengekalkan semangat menuntut ilmu dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
“Saya percaya dengan kerjasama dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat kita mampu melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berkeupayaan menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara,” katanya.
Rusdin turut mengumumkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada persatuan berkenaan serta berjanji akan membantu usaha membina lif di bangunan persatuan bagi memudahkan warga emas naik ke tingkat atas bangunan empat tingkat itu.
Sementara itu pengerusi penganjur Datuk Dr Jimmy Tham Yuk Leong yang juga Presiden Dewan Perniagaan Cina Ranau serta presiden persatuan berkenaan merakamkan penghargaan kepada Rusdin dan semua yang hadir menjayakan program tersebut.
“Sebagai persatuan yang berteraskan nilai budaya masyarakat Hakka kami sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan penghormatan kepada warga emas.
“Tahun ini seramai 12 anak ahli persatuan menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik sebagai pengiktirafan atas usaha dan pencapaian mereka. Kami berharap anugerah ini menjadi dorongan untuk mereka mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya.
Seramai 52 warga emas turut diraikan dalam Majlis Penghargaan Warga Emas yang diadakan sempena program tersebut.