Kota Kinabalu: Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia memuji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu “strategi politik yang bijak” untuk Sabah, sambil menyeru para pemimpin tempatan agar meninggalkan cara berpolitik lama yang masih terikat dengan era 1985.
Berucap semasa pelancaran jentera GRS di sini pada Ahad, Pandikar mengimbas perjalanan politiknya sendiri, merujuk kepada buku beliau pada t2017 bertajuk “Berpisah Tiada”, di mana beliau menekankan bahawa Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tidak boleh dipisahkan.
“Dulu, bekerjasama dengan pemimpin atau parti dari Semenanjung dianggap satu pengkhianatan. Saya pernah digelar pengkhianat, ‘pengkhianat baruah KL’,” katanya.
“Tapi bila saya renung semula, saya sedar kita mesti utamakan kesejahteraan rakyat Sabah, bukan sekadar perasaan sendiri,” tambahnya.
Beliau turut mengkritik kebangkitan semula naratif politik lama, khususnya semangat “1985” yang sering dibawa oleh pemimpin seperti Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
“Apa yang Jeffrey lakukan hari ini mengingatkan saya kepada PBS pada 1985, di mana keadilan untuk satu pihak dianggap keadilan untuk semua.
“Tapi jangan lupa, ia juga membuka pintu kepada kemasukan Umno ke Sabah. Ia mencetuskan bencana politik,” katanya memberi amaran.
Pandikar memuji Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor atas visi politik jangka panjangnya melalui penubuhan GRS.
“Hajiji telah mengubah arus politik. Beliau keluar daripada parti yang dikuasai kepentingan Semenanjung, menyatukan pemimpin Sabah dan menubuhkan parti tempatan yang kini mentadbir negeri. Itulah kematangan politik,” ujarnya.
Beliau turut menyebut penglibatan tokoh-tokoh Sabah seperti Tan Sri Yong Teck Lee dan Datuk Seri Anifah Aman dalam membentuk platform GRS, namun kesal kerana masih ada yang berpegang kepada strategi lama.
“Kematangan Hajiji belum benar-benar dihargai oleh rakan seangkatannya. Ada yang masih membawa semangat 1985 itu, seperti Jeffrey dan ‘sifu’ saya, Yong,” katanya.
Merujuk kepada lima tahun GRS mentadbir negeri, Pandikar menegaskan bahawa gabungan itu telah membuktikan keupayaannya mentadbir secara berdikari.
“Kalau perlu, kita boleh bergerak solo. Tapi dalam hidup, bukan semua perkara perlu dibuat sendirian. Kita mesti bekerjasama,” katanya.
Dalam nada berseloroh, beliau menegur Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Emmie Martin Idang dengan berkata, “Jadi cik moderator, jangan solo terlalu lama,” mencuit tawa para hadirin.
Pandikar turut menyeru parti agar menggunakan pendekatan yang lebih agresif dan ofensif dalam penyampaian mesej politik.
Beliau menggesa rakyat Sabah menolak naratif yang memecah-belahkan dan terus membina kerajaan yang bersatu serta dipimpin oleh anak negeri sendiri.
“Rakyat mungkin tidak mahukan fakta, tetapi mereka mudah tersentuh dengan retorik emosi, sesuatu yang dikuasai dengan baik oleh pemimpin seperti Datuk Seri Shafie Apdal dari Warisan,” katanya.