SANDAKAN: Sandakan dan Sukau kini dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang saling melengkapi, menggabungkan warisan sejarah Sabah dengan keindahan alam semula jadi bagi mewujudkan pakej pelancongan berkembar lebih menarik.
Pengasas dan Pengerusi Sandakan Heritage Trail Lai King Hang berkata kedua-dua destinasi tersebut mempunyai potensi besar untuk menjadi pilihan utama pelancong berasaskan alam semula jadi yang mencari alternatif kepada laluan perjalanan jarak jauh yang semakin sesak.
“Ramai pelancong kini menilai semula perjalanan jarak jauh. Ini peluang untuk Sabah mempromosikan dirinya sebagai destinasi yang menawarkan keaslian, keselamatan dan pengalaman alam semula jadi yang mendalam tanpa kesesakan.
“Apabila dipromosikan bersama Sandakan dan Sukau mampu menawarkan pengalaman lengkap Sabah yang menggabungkan pelancongan berasaskan sejarah dan alam semula jadi.
“Sandakan berperanan sebagai pintu masuk dengan kekayaan sejarah dan nilai budayanya termasuk Sandakan Heritage Trail yang semakin mendapat perhatian pelawat antarabangsa setiap tahun.
“Sukau yang terletak di sepanjang Sungai Kinabatangan pula terkenal dengan pengalaman hidupan liar yang luar biasa, termasuk peluang melihat orang utan, gajah pygmy dan pelbagai spesies burung.
“Gabungan kedua-dua destinasi ini mencerminkan identiti sebenar Sabah — di sinilah sejarah bertemu alam liar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.
Menurutnya krisis di Teluk yang menjejaskan corak perjalanan global sebenarnya membuka peluang kepada Sabah untuk menjenamakan semula dirinya sebagai destinasi pelancongan yang selamat, autentik dan menawarkan pengalaman alam semula jadi yang unik.
Berikutan itu beliau berharap kementerian berkaitan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesan krisis tersebut dengan memperkukuh usaha promosi, menambah baik kesalinghubungan penerbangan serta memperhalusi strategi penjenamaan untuk menyalurkan pelancong ke destinasi baharu seperti Sandakan dan Sukau.
Sementara itu beliau berkata statistik Lembaga Pelancongan Sabah bagi 2025 menunjukkan lebih 50 peratus ketibaan pelancong antarabangsa, khususnya dari Eropah dan Australia tertumpu di kawasan Sandakan dan Sukau.
Tambahnya peningkatan jumlah pelawat di Sandakan Heritage Trail turut membuktikan kawasan itu semakin mendapat perhatian sebagai hab pelancongan penting.
Beliau percaya gabungan produk pelancongan budaya dan hidupan liar di kedua-dua lokasi mampu menawarkan pakej lebih menyeluruh, sekali gus menggalakkan pelancong tinggal lebih lama dan meningkatkan perbelanjaan di Sabah.
Turut hadir Presiden Stan Teo Chee Kim bersama ahli persatuan yang menunjukkan sokongan berterusan dalam usaha memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara.