Kota Kinabalu: Tiga parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyangkal kenyataan bekas menteri persekutuan Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Blok Borneo yang dicadangkan dan tuntuan Sabah dan Sarawak agar hak perlembagaan mereka di bawah Perjanjian Malaysia dipenuhi sebagai cubaan untuk mendominasi Semenanjung.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata “Blok Borneo’ bukan untuk memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan tetapi untuk mengukuhkan keseimbangan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.
“Hal ini merupakan usaha politik yang sah dan matang untuk menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo secara lebih tersusun di Parlimen.
“Melalui sistem Persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah bagi memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif,” katanya dalam kenyataan, Rabu.
Nizam berkata asas pembentukan Malaysia pada t1963 adalah berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah.
“Penyertaan kedua-dua wilayah ini dalam Persekutuan Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas disertai dengan jaminan perlindungan tertentu bagi menjaga identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan,” katanya.
Jaminan-jaminan ini termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara.
“Perkara-perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta beberapa perkara berkaitan pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan yang berlebihan.
“Semua ini merupakan sebahagian daripada komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia. Maka usaha berterusan untuk menuntut dan memperkukuh pelaksanaan perkara-perkara ini adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang.”
Nizam berkata, cadangan untuk menambah kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak juga perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama, melihat keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza.
“Adalah wajar suara rakyat di Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih seimbang dalam Parlimen Malaysia.
“Sebarang usaha untuk memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkuatkan negara secara keseluruhan,” katanya.
Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Felix Joseph Saang menasihati pemimpin-pemimpin di Semenanjung agar bersikap adil dan bertanggungjawab ketika mengulas isu MA63.
Beliau berkata dakwaan mereka sengaja diperbesarkan untuk menafikan hak sah Sabah dan Sarawak.
“Kenyataan tersebut mencerminkan sama ada kejahilan mendalam terhadap sejarah atau kegagalan memahami asas penubuhan Persekutuan.
“Perjuangan menegakkan MA63 bukanlah agenda perpecahan atau penguasaan sebaliknya usaha menuntut pelaksanaan hak yang telah dipersetujui secara sah ketika pembentukan negara.”
Felix menyifatkan tanggapan bahawa Sabah dan Sarawak mahu “mengawal” wilayah lain sebagai tidak berasas dan tidak logik.
Menurutnya, terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh pendidikan sejarah yang tepat bagi merapatkan jurang pemahaman antara Malaysia Timur dan Barat.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah dan Sarawak agar memperkukuh solidariti bagi memastikan kepentingan mereka terus terpelihara. Antara perkara utama dalam seruannya ialah:
- Merapatkan Jurang: Menangani ketidakseimbangan pembangunan dan kemajuan yang semakin melebar antara negeri-negeri Borneo dan Semenanjung Malaysia.
- Komitmen Politik: Menuntut pelaksanaan MA63 secara konsisten melalui iltizam politik yang jelas dan tulus.
- Kesejahteraan Negara: Membingkaikan perjuangan hak Malaysia Timur sebagai usaha menegakkan keadilan yang akhirnya memberi manfaat kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan Liberal Democratic Party (LDP) Nicholas Ban berkata menggambarkan Borneo Bloc sebagai usaha untuk “mengawal Malaya” adalah salah tafsir terhadap niat sebenar.
“Blok Borneo bukan mengenai dominasi atau konfrontasi tetapi satu platform kolektif bagi Sabah dan Sarawak untuk memperkukuh suara dalam Persekutuan serta menuntut pembangunan yang adil dan seimbang.
“Selama beberapa dekad, rakyat Sabah bukan meminta kekuasaan tetapi layanan dan pembangunan yang saksama,” katanya.
Nicholas berkata komuniti luar bandar di Sabah masih berdepan cabaran dalam aspek infrastruktur asas termasuk jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil serta peluang ekonomi yang lebih luas.
“Pendirian kami jelas, Sabah hanya mahu mendapatkan semula apa yang telah terhakis selama ini, selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963.”
Beliau berkata MA63 dengan jelas menggariskan hak dan kedudukan Sabah ketika pembentukan Malaysia, dan pengukuhan kedudukan Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan tidak akan melemahkan Malaysia.
Sebaliknya, sebuah Persekutuan yang dibina atas dasar keadilan, saling menghormati dan pembangunan seimbang akan menjadi lebih kukuh dan bersatu.
“Blok Borneo adalah mengenai keseimbangan, keadilan dan mengembalikan hak yang sewajarnya kepada Sabah, bukannya untuk mengawal sesiapa,” katanya.