Sat, 4 Apr 2026
Headlines:
Bimbang cadangan senarai Shorea sebagai spesies kayu balak terancam
Published on: Tuesday, March 03, 2026
Published on: Tue, Mar 03, 2026
By: Hayati Dzulkifli
Text Size:
Text:
Bimbang cadangan senarai Shorea sebagai spesies kayu balak terancam
Tan berkata pihaknya menyuarakan kebimbangan serius terhadap cubaan Suruhanjaya Eropah pada 2025 untuk mencadangkan kemasukan genus Shorea di bawah Lampiran II CITES pada Persidangan Pihak-Pihak Ke-20 (CoP20).
Kota Kinabalu: Sebarang cadangan untuk menyenaraikan spesies kayu balak dagangan utama seperti genus Shorea di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Fauna dan Flora Liar (CITES) mesti disokong bukti saintifik yang kukuh serta data perdagangan yang tepat, selaras dengan kriteria ditetapkan di bawah konvensyen berkenaan.

Spesies Shorea merupakan “kayu tropika komersial” di Asia Tenggara termasuk Malaysia, yang lazim diperdagangkan di bawah nama umum seperti meranti, seraya dan balau, antara lain, serta diproses menjadi produk kayu seperti kayu gergaji, kepingan venir, panel dan papan lapis.

Advertisement
Presiden Persatuan Kayu Kayan Malaysia (MTA) Tan Peng Juan berkata pihaknya menyuarakan kebimbangan serius terhadap cubaan Suruhanjaya Eropah pada 2025 untuk mencadangkan kemasukan genus Shorea di bawah Lampiran II CITES pada Persidangan Pihak-Pihak Ke-20 (CoP20).

Walaupun cadangan itu tidak dimasukkan dalam persidangan berkenaan, beliau berkata semua data berkaitan perlu dipastikan tersedia bagi menangani sebarang cadangan masa depan daripada pihak-pihak yang mengambil bahagian.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Beliau berkata cadangan penyenaraian itu akan menjejaskan spesies kayu komersial penting Malaysia yang dipasarkan di bawah nama dagangan balau, meranti merah, meranti kuning dan meranti putih — spesies yang membentuk komponen penting sumber hutan semula jadi Malaysia yang diurus secara lestari.

Pada 10 Feb 2026, katanya, MTA menganjurkan sesi libat urus CITES melibatkan Pihak Berkuasa Saintifik dan Pihak Berkuasa Pengurusan Malaysia bagi memperkukuh penyelarasan serta kesiapsiagaan dalam menangani sebarang langkah masa depan untuk menyenaraikan spesies dagangan utama di bawah CITES.

Advertisement
“Sesi itu menjadi platform penting kepada pemain industri untuk memahami dengan lebih jelas kriteria penyenaraian, keperluan Non-Detriment Findings (NDF), jangkaan kebolehkesanan, prosedur permit eksport serta implikasi perdagangan yang berpotensi akibat penyenaraian baharu.

“Dalam sesi tersebut, penekanan diberikan kepada usaha membuktikan bahawa rangka kerja tadbir urus hutan Malaysia, peraturan penuaian dan sistem pemantauan mampu menjamin aspek kesahihan dan kelestarian tanpa menjejaskan perdagangan sah.

Advertisement
“Perkongsian mendalam data teknikal, statistik perdagangan, maklumat pengurusan hutan dan pengalaman penguatkuasaan telah mengukuhkan keyakinan MTA untuk menyediakan pembentangan berasaskan bukti yang kukuh kepada kementerian berkaitan,” katanya kepada Daily Express di sini, Isnin.

Beliau berkata MTA akan menyediakan kertas teknikal komprehensif yang disokong data saintifik dan empirikal untuk diserahkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Kertas itu akan merangkumi status pemuliharaan dan penilaian populasi spesies Shorea, rangka kerja pengurusan hutan lestari Malaysia, statistik perdagangan yang disahkan serta mekanisme pematuhan, langkah perlindungan sedia ada, selain implikasi sosioekonomi sekiranya penyenaraian di bawah Lampiran II dilaksanakan.”

Beliau menambah pendekatan bersepadu itu bertujuan melindungi kepentingan negara, mengekalkan akses pasaran, mengelakkan sekatan perdagangan yang tidak berasas serta memastikan objektif pemuliharaan diseimbangkan dengan pertimbangan sosioekonomi, khususnya mata pencarian komuniti dan kelestarian industri kayu kayan.

“MTA kekal komited sepenuhnya terhadap pengurusan hutan lestari dan perdagangan antarabangsa yang bertanggungjawab.

“Kami percaya keputusan dasar di bawah CITES mesti berasaskan sains yang kukuh, ketelusan serta pertimbangan seimbang antara faktor alam sekitar dan sosioekonomi,” katanya.

Tan, yang juga Presiden Persatuan Industri Kayu Kayan Sabah (STIA), berkata STIA melalui MTA akan terus berinteraksi secara konstruktif dengan pihak berkuasa bagi memastikan Malaysia kekal proaktif, berasaskan sains dan berada pada kedudukan strategik dalam semua perbincangan di bawah CITES.

Beliau berkata Malaysia sejak sekian lama melaksanakan sistem pengurusan hutan yang mantap dan berasaskan sains, termasuk amalan penuaian lestari, pengawasan kawal selia yang ketat serta mekanisme pemantauan hutan yang menyeluruh.

Difahamkan spesies Shorea di Sabah juga tertakluk kepada peraturan perhutanan nasional serta kawalan CITES, jika berkenaan, manakala spesies tertentu turut berada di bawah senarai perlindungan peringkat negeri.

Eksport kayu Shorea yang disenaraikan di bawah Lampiran II memerlukan permit eksport CITES yang sah dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan, disokong penilaian Non-Detriment Finding (NDF) yang diluluskan bagi mengesahkan kelestarian, selain dokumentasi kebolehkesanan kayu yang lengkap termasuk pengisytiharan spesies dan kod Sistem Harmonisasi (HS).

Peraturan CITES itu berpotensi meningkatkan keperluan pentadbiran serta kos pematuhan bagi pengeksport.

Di pasaran utama seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, penyenaraian CITES juga boleh mempengaruhi kawalan import serta penilaian kelestarian melebihi langkah tarif konvensional.

Sehubungan itu, Tan berkata industri kayu kayan Malaysia mungkin berdepan keperluan dokumentasi dan pengesahan tambahan bagi produk Shorea dan produk berkaitan sekiranya penyenaraian lanjut diteruskan.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here