Kota Kinabalu: Data Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (Masa) dari Januari 2023 hingga April 2026 menunjukkan kesesakan di pelabuhan Sabah kini bukan lagi berpunca daripada isu kren atau jadual kapal semata-mata, sebaliknya menjadi cabaran sistemik rantaian bekalan yang memberi kesan meluas.
Angka berkenaan menunjukkan, walaupun produktiviti tempat berlabuh meningkat, tempoh menunggu kapal dan keseluruhan masa kapal berada di pelabuhan meningkat dengan ketara.
Advertisement
X500px(H).jpg)
Dalam sesetengah kes, kapal terpaksa menunggu lebih 100 jam di luar pesisir sebelum dapat berlabuh, manakala kontena pula berada lebih lama di kawasan terminal sebelum dipindahkan.
Ketidakcekapan itu memberi kesan berantai kepada keseluruhan rantaian bekalan, menjejaskan jadual, meningkatkan kadar tambang penghantaran dan akhirnya menaikkan kos kepada perniagaan serta pengguna di Sabah.
“Ini bukan masalah terpencil pengendali pelabuhan. Ini masalah sistem ekonomi,” kata jurucakap Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) Sabah, Daniel Doughty, merujuk kepada data berkenaan.
Beliau berkata syarikat perkapalan yang berdepan kelewatan mengenakan surcaj kesesakan dan premium risiko.
Kos itu akhirnya dipindahkan kepada ekonomi Sabah apabila pengguna membayar lebih mahal bagi barangan import, pengeksport hilang daya saing, dan perniagaan berdepan kos logistik yang lebih tinggi.
Industri yang bergantung kepada jadual penghantaran konsisten, daripada minyak sawit dan pembuatan hingga pertanian serta produk sejuk beku, kini semakin terdedah kepada gangguan.
Keyakinan pelabur juga dipertaruhkan. Dalam ekonomi global yang menjadikan kebolehpercayaan rantaian bekalan sama penting dengan insentif cukai, kesesakan berterusan memberi isyarat ketidaktentuan.
Daniel berkata pelabuhan, yang menjadi nadi perdagangan, kini dilihat sebagai potensi halangan berbanding pemangkin pertumbuhan.
Data Masa turut menunjukkan peluasan infrastruktur semata-mata, seperti menambah kren, memanjangkan dermaga dan membesarkan kawasan simpanan, tidak akan menyelesaikan masalah.
Punca utama, katanya, terletak pada logistik hiliran yang berpecah-pecah, termasuk proses kastam yang tidak konsisten, kekurangan lori, kesesakan depot dan koordinasi digital yang lemah.
Tanpa penyelarasan pemindahan kargo dan pengagihan darat, kesesakan akan terus berulang.
Pakar menggesa Sabah mengguna pakai rangka kerja daya tahan logistik yang lebih menyeluruh. Antara cadangan utama ialah:
@ Pengagihan semula kargo: Dengan memanfaatkan kemudahan kurang digunakan seperti jeti Sabah Forest Industries di Sipitang bagi kargo khusus seperti bahan projek, muatan bersaiz besar dan peralatan berat.
@ Kerjasama serantau: Kerjasama dengan ekosistem maritim Labuan bagi menyediakan pusat transit kargo, penyelarasan kapal pengumpan dan fleksibiliti pengagihan semula.
@ Pembangunan bersepadu: Membangunkan pelan induk peringkat negeri yang memberi tumpuan kepada daya tahan, sistem sandaran, keterlihatan digital dan kesinambungan rantaian bekalan.
Langkah itu akan membolehkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar menumpu kepada operasi kontena berfrekuensi tinggi, manakala kemudahan sekunder menampung aliran kargo khusus yang lebih perlahan.
Kebergantungan tinggi Sabah terhadap rantaian bekalan maritim bagi makanan, bahan binaan, input industri dan tenaga bermakna ketidakstabilan berpanjangan di pelabuhan secara langsung menjejaskan kestabilan ekonomi negeri.
Laporan itu memberi amaran bahawa jika ketidakcekapan ini menjadi kebiasaan, kos jangka panjang terhadap daya saing dan keyakinan pelaburan akan sukar dipulihkan.
Sabah perlu bergerak melangkaui langkah sementara dan melaksanakan reformasi logistik yang diselaras serta berasaskan bukti. Jika dilaksanakan dengan baik, negeri ini berpotensi mengukuhkan peranannya sebagai pintu gerbang maritim utama di Borneo dan rantau Asean.
Jika tidak ditangani, kesesakan itu boleh menghakis daya tahan ekonomi Sabah untuk tempoh bertahun-tahun.