Kota Kinabalu: Makanan laut segar menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri ini terutama di Kota Kinabalu kerana kedudukannya yang strategik di pesisir pantai memudahkan untuk mendapatkan hidangan laut segar.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata faktor lokasi yang strategik memudahkan pelancong mendapatkan hidangan makanan laut tanpa perlu berjalan jauh seperti di bandar raya besar lain.
“Pelawat datang ke sini mungkin disebabkan kedudukan bandar kita yang mana saiz bandar yang tidak terlalu besar sekali gus memudahkan mereka untuk mendapatkan atau mengunjungi restoran makanan laut di sekitar berbanding di bandar raya besar yang lain di mana mereka perlu menempuh perjalanan yang agak jauh untuk menikmati hidangan makanan laut.
“Kita di pesisir pantai dan memang makanan laut di sini restorannya terkenal dengan kesegaran serta keenakan menjadikan salah satu tarikan utama para pelancong yang datang ke sini sama ada daripada luar negara, Semenanjung atau Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa DBKK Bersama Media pada Selasa.
Dalam majlis itu DBKK turut memberikan sumbangan khas kepada 20 pengamal media Sabah sebagai tanda penghargaan dan sokongan.
Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Merangkap Menteri Yang Bertanggungjawab Kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil dan Pengerusi Persatuan Wartawan Kota Kinabalu Jimmy Goh.
Beliau berkata penganjuran majlis itu bertujuan merapatkan hubungan antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan pengamal media yang disifatkan sebagai rakan strategik dalam menyalurkan maklumat kepada orang awam.
“Pihak media banyak membantu DBKK dalam melaporkan rungutan dan aduan orang ramai serta penduduk setempat berkaitan kerosakan di pelbagai lokasi termasuk isu kebersihan seperti peningkatan jumlah sampah khususnya pada musim perayaan yang mungkin tidak sempat dipantau sepenuhnya oleh pihak kami.
“Kami memang ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana menjadi rakan strategik kepada DBKK untuk membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Sabin berkata pihaknya sedang berusaha menambah baik pencahayaan di kawasan bandar yang dikenal pasti gelap terutama di jalan raya dan persimpangan.
Katanya antara cabaran yang dihadapi termasuk kecurian kabel serta kerosakan lampu Light Emitting Diode (LED) yang menyebabkan proses pembaikan mengambil masa.
“Dari segi lampu ini kita memang ingin memastikan lampu-lampu di sepanjang jalan ataupun dekat persimpangan (junction) patut dibekalkan namun adakalanya kabel-kabel lampu ini dicuri ataupun mengalami kerosakan termasuk LED tersebut.
“Apabila tempat itu selalu berlaku kecurian dan kerosakan kadangkala kontraktor kami mengambil masa yang agak lama sedikit untuk mendapatkan alat ganti sebelum kabel dapat dipasang semula.
“Namun ini bukan alasan untuk kami tidak memastikan kawasan tersebut terang, kita sedang berusaha menambah baik pemantauan melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan pusat kawalan apabila sistem ini siap dan kita dapat mengesan kerosakan dengan lebih cepat tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada aduan awam atau pemeriksaan manual,” jelasnya.
Tambahnya projek pemasangan CCTV kini dalam proses tender oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan anggaran keseluruhan sekitar 2,000 unit termasuk yang sedia ada.