Kota Kinabalu: Pembangunan jangka panjang Sepanggar menerima rangsangan penting susulan penyiapan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon bernilai RM42 juta bagi memenuhi keperluan tenaga di daerah yang sedang pesat membangun itu.
Ketua Pegawai Projek Utama Sabah Electricity, Abdul Razak Saleh berkata projek PPU 33/11kV itu dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dengan kerjasama Sabah Electricity bagi menstabilkan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.
Beliau berkata projek yang mengambil masa tiga tahun itu mula menjalani proses pentauliahan pada 18 Mac lalu, dan berperanan mengurangkan beban pada beberapa pencawang sedia ada yang sebelum ini beroperasi hampir pada tahap maksimum.
“Tujuan pembinaan PPU Gudon adalah untuk menstabilkan bekalan elektrik di Sepanggar, di mana setakat ini sebanyak 9MW beban telah dipindahkan daripada PPU lain di kawasan tersebut ke pencawang ini.
“Pemindahan ini juga membantu menstabilkan bekalan di kawasan perindustrian Sepanggar bagi memastikan gangguan dapat diminimumkan. Dengan PPU ini, indeks purata tempoh gangguan sistem (Saidi) Sabah juga dijangka akan dapat dikurangkan sebanyak 1.47 minit,” katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja di PPU Gudon di sini, Khamis.
Saidi ialah metrik utiliti elektrik utama yang mewakili purata tempoh gangguan bekalan elektrik bagi setiap pelanggan dalam tempoh tertentu, biasanya diukur dalam minit atau jam setahun.
Razak berkata, peningkatan permintaan tenaga di Sepanggar didorong oleh perkembangan pesat sektor perumahan dan perindustrian dengan permintaan dianggarkan mencecah 50MW.
Walaupun kini beroperasi pada kapasiti 9MW, PPU berkenaan mempunyai kapasiti keseluruhan sehingga 30MW yang mampu menyokong pertumbuhan permintaan tenaga pada masa hadapan.
Razak berkata pengagihan semula beban itu turut membolehkan pencawang lain di Sepanggar kembali beroperasi pada tahap optimum sekali gus mengurangkan risiko penurunan voltan serta meningkatkan keselamatan sistem grid.
Selain itu, pembinaan pencawang baharu itu turut memendekkan jarak talian pembekal elektrik, sekali gus mengurangkan jumlah pengguna yang terjejas sekiranya berlaku gangguan bekalan.
“Langkah ini penting memandangkan peningkatan permintaan tenaga di kawasan berkenaan serta jarak pembekalan yang sebelum ini agak jauh boleh menyebabkan masalah penurunan voltan dan keselamatan sistem,” katanya.
Walaupun projek tersebut mengalami sedikit kelewatan, beliau berkata pihaknya berpuas hati kerana pencawang itu kini beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, PPU Gudon turut dilengkapi sistem perlindungan dan komunikasi yang dipertingkatkan bagi memastikan penyelarasan lebih baik dengan pusat kawalan operasi utiliti.
Dengan Sepanggar terus berkembang sebagai hab perumahan dan perindustrian, pentauliahan PPU Gudon dilihat sebagai pelaburan penting bagi memperkukuh infrastruktur tenaga kawasan itu serta menyokong keperluan masa hadapan.