Kota Kinabalu: Perkhidmatan bas awam BAS.MY Kota Kinabalu secara rasmi mula beroperasi pada Selasa yang menandakan satu langkah penting ke arah penambahbaikan pengangkutan awam di bandar ini.
Inisiatif ini memperkenalkan dua laluan utama iaitu S01 dan S05 yang beroperasi dari Terminal Bas KK Sentral dengan kira-kira 10 bas digunakan pada fasa awal bagi memberi perkhidmatan kepada penumpang.
Perkhidmatan ini dijangka menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih mampu milik dan boleh dipercayai kepada penduduk khususnya ketika harga bahan api terus meningkat akibat trend minyak global sekali gus menawarkan alternatif praktikal untuk perjalanan harian.
BAS.MY turut menampilkan sistem pembayaran tanpa tunai sepenuhnya, menyokong kad Manjalink, kad konsesi yang menawarkan perjalanan tanpa had secara percuma untuk warga emas, orang kurang upaya dan pelaja serta pas 30 hari untuk golongan pekerja.
Pembayaran boleh dibuat melalui kad bank Visa dan MasterCard serta DuitNow manakala kad konsesi dan pas bulanan hanya ditawarkan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai kad pengenalan yang sah.