Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 45 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis atas pertuduhan memiliki bahan mengandungi mitraginin atau lebih dikenali sebagai ketum.
Adi Awang mengaku bersalah di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan memiliki kira-kira 500 mililiter cecair mengandungi mitraginin di tepi jalan Kampung Laut, Kinarut, Papar pada jam 2 petang, 27 Mac lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia dan tidak menawarkan jaminan.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan dengan alasan mempunyai ibu bapa serta anak-anak yang menjadi tanggungannya.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Mei depan sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua orang penjamin.