BEAUFORT: Program MySave Food yang dianjurkan bersama oleh sukarelawan GPS Kolej Komuniti Beaufort dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyelamatkan sebanyak 448.8 kilogram makanan lebihan dalam satu operasi di Bazar Ramadan Beaufort.
Jumlah itu direkodkan melalui aplikasi ReMeal sebelum makanan berkenaan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Cawangan Kementerian di Beaufort turut melaksanakan program kedua Bazar Ramadan Rahmah (BRR) seiring dengan usaha advokasi aplikasi Price Catcher/REDi serta inisiatif MySave Food di Bazar Ramadan Beaufort pada Sabtu.
Program yang berlangsung dari jam 2 petang hingga 9 malam itu melibatkan seramai 210 peniaga bazar, dengan 45 gerai mengambil bahagian dalam inisiatif BRR yang menawarkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan kepada pengunjung.
Sepanjang program, pengunjung turut diberi taklimat oleh Pegawai Pemantau Harga mengenai cara menggunakan aplikasi Price Catcher bagi menyemak dan membandingkan harga barangan di premis berhampiran.
Satu sesi tinjauan turut dijalankan di sekitar bazar yang menyaksikan kit peniaga BRR diagihkan kepada peniaga yang terlibat.
Dalam usaha menggalakkan transaksi tanpa tunai, pin Touch ‘n Go e-Wallet bernilai RM20 turut diberikan kepada pengunjung bazar.
Program ini bertujuan memperkukuh advokasi pengguna, membantu pengguna mendapatkan barangan pada harga berpatutan serta mengurangkan pembaziran makanan menerusi inisiatif penyelamatan makanan.
Sementara itu, di KENINGAU, program Imarah Madani yang digabungkan dengan majlis berbuka puasa di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor menerima sambutan menggalakkan daripada komuniti Islam setempat, sekali gus menggabungkan pembelajaran agama dan penghayatan rohani sepanjang bulan Ramadan.
Program yang menampilkan ceramah agama itu dianjurkan bersama oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Jawatankuasa Pentadbiran serta Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor.
Ia bertujuan memperkukuh penghayatan nilai Malaysia Madani selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, merakamkan penghargaan kepada AKM kerana memilih masjid tersebut sebagai lokasi program Imarah Madani.
Beliau berkata, program seumpama ini penting bagi memperdalam kefahaman masyarakat mengenai konsep Malaysia Madani di samping mengeratkan hubungan serta perpaduan dalam kalangan umat Islam.
“Terima kasih kepada semua ahli komuniti Islam yang hadir dan memberikan sokongan penuh sehingga menjayakan program ini. Kehadiran yang memberangsangkan membuktikan komitmen masyarakat dalam mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan,” katanya.