Kota Kinabalu: Dua lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis daripada pertuduhan memiliki 41.9952 kilogram (kg) syabu.
Hakim Zaini Fishir @ Fisal membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memastikan kehadiran saksi penting yang diperlukan dalam kes berkenaan.
Mohd Sifihi Yusof dan Sydzreel Fahmy Shamsury sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dibaca bersama Seksyen 39A(2) akta sama, dan telah berada dalam tahanan sejak Februari 2025.
Kedua-dua ahli perniagaan masing-masing berusia 34 dan 31 tahun itu dituduh bersama melakukan kesalahan tersebut pada 27 Februari 2025, kira-kira jam 9 malam di tempat letak kereta bawah tanah ITCC, Penampang.
Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Zaini berkata enam saksi pendakwaan telah memberi keterangan namun pihak pendakwaan masih belum menutup kes kerana dua saksi utama iaitu pegawai penyiasat dan pegawai serbuan belum dipanggil.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pegawai penyiasat telah meletak jawatan dan keberadaannya tidak dapat dikesan, manakala pegawai serbuan pula kini ditahan dalam siasatan berasingan.
Zaini menegaskan bahawa kehadiran pegawai serbuan adalah penting kerana dia merupakan pegawai utama dalam operasi tersebut dan mampu menjelaskan isu fakta utama yang timbul sepanjang perbicaraan.
Dia juga menyatakan bahawa walaupun telah diberikan beberapa peluang, pihak pendakwaan gagal membawa pegawai serbuan ke mahkamah tanpa sebab munasabah.
Mahkamah juga mendapati keterangan yang dikemukakan, termasuk rakaman CCTV dan laporan DNA yang dikaitkan dengan sebuah Toyota Land Cruiser yang dipantau, menimbulkan persoalan berkaitan pemilikan, jagaan dan kawalan yang tidak dapat dipastikan tanpa keterangan pegawai serbuan.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa pelepasan tanpa pembebasan tidak sesuai dan sebaliknya memberikan pelepasan dan pembebasan penuh.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Azhier Farhan Arisin.