Kota Kinabalu: Projek Jesselton Waterfront City (JWC) oleh Suria Capital Holdings Berhad dijangka mengubah wajah bandar raya ini menjadi destinasi tepian laut (waterfront) bertaraf dunia dengan kemudahan premium untuk pelancongan kapal persiaran dan hospitaliti gaya hidup.
Dibangunkan oleh SBC Corporation Berhad dan BEDI Development Sdn Bhd, projek itu bakal menampilkan laluan pejalan kaki tepi laut terpanjang dan terbesar secara berterusan di Kota Kinabalu, sejajar dengan konsep “Waterfront for All”.
Dalam sidang media pada Rabu, Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Ng Kiat Min berkata visi jangka panjang JWC ialah membangunkan sebuah daerah waterfront yang mampan dan berdaya komersial bagi menyokong pertumbuhan pelancongan serta mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi utama.
Katanya, syarikat komited melaksanakan pembangunan waterfront yang menyeluruh dan dinamik, memberikan manfaat kepada penduduk, pelabur serta komuniti setempat.
“JWC ialah pembangunan bercampur di kawasan tepi laut bandar raya dan merupakan usaha besar untuk meremajakan Pelabuhan Kota Kinabalu menjadi daerah waterfront moden bertaraf dunia.
“Jesselton Quay, yang dibangunkan SBC Corporation Berhad, telah menyiapkan JQ Central, fasa pertama yang merangkumi suite servis dan ruang runcit. Ini telah menyumbang kepada kemunculan awal suasana hidup dan menetapkan penanda aras baharu bagi kehidupan moden di pesisir bandar.
“Fasa seterusnya, The Quayside, sedang bergerak ke arah penyempurnaan pada 2028, diikuti Q Suites yang turut dijadual siap pada tahun sama.
“Kedua-dua fasa ini bakal memperkukuhkan lagi kawasan berkenaan dengan pengalaman gaya hidup, hospitaliti dan aktiviti berorientasikan waterfront,” katanya.
Beliau berkata, bersebelahan projek itu ialah Jesselton Docklands oleh BEDI Development Sdn Bhd yang sudah memulakan fasa pertama dikenali sebagai The Bedrock. Keseluruhan pembangunan dijangka siap dalam tempoh 15 tahun melalui empat fasa.
“Bersama-sama, Jesselton Quay dan Jesselton Docklands menjadi komponen utama pelan induk JWC, membuka era baharu gaya hidup urban pesisir, peluang pelaburan dan pertumbuhan jangka panjang untuk Kota Kinabalu dan Sabah,” katanya.
Sementara itu, BEDI memberi tumpuan kepada pembangunan hab perniagaan dan kediaman bersepadu berasaskan gaya hidup premium, sekali gus melengkapkan pembangunan SBC dan mengukuhkan kedudukan JWC sebagai nadi baharu kawasan pusat perniagaan Kota Kinabalu.
Beliau berkata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, turut menyatakan komitmen tinggi terhadap pembangunan JWC.
Hadir sama, Pengerusi Suria Capital Faisyal bin Yusof Hamdain Diego, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Rick Phoon, Ketua Perancangan dan Pembangunan Korporat Datin Soh Wan Ru, Pengarah Urusan Kumpulan SBC Datuk Sia Teong Heng serta Pengurus Kumpulan Pejabat MD Liang Ee Eu.