Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi pada Jumaat atas pertuduhan mengedar 705.62 gram ganja di Keningau.
Tertuduh Zachery Robertson Robert Lupang yang dihadapkan di hadapan Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Julai lalu kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kitung.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 8 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus direman memandangkan pertuduhan yang dihadapinya tidak membenarkan jaminan.
Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan mengendalikan pendakwaan manakala Zachery diwakili peguam Lydiana Laura Michael.
Dalam perkembangan berkaitan Mahkamah Majistret membebaskan seorang lelaki berusia 21 tahun dengan ikatan jaminan kelakuan baik selama setahun tanpa deposit selepas dia mengaku bersalah mencabul seorang penumpang wanita dalam penerbangan ke Kota Kinabalu.
Majistret Dzul Elmy Yunus mengenakan bon itu terhadap Md Yusuf Affendy yang mengaku menyentuh paha kiri seorang wanita berusia 24 tahun pada jam 9.50 malam, 26 Ogos lalu di dalam pesawat Batik Air yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.
Terdahulu mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa pada hari kejadian tertuduh menyentuh paha kiri mangsa yang duduk bersebelahan denganya di dalam pesawat tersebut.
Pengadu telah merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit mendapatkan bantuan daripada kru kabin dan menukar tempat duduk.
Setelah pesawat mendarat mangsa membuat laporan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan tertuduh ditahan keesokan paginya.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh masih muda, menganggur serta menyesali perbuatanya dan benar-benar insaf.
Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal dikenakan.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh mengendalikan pendakwaan kes tersebut.