PENAMPANG: Penduduk Kampung Tanaki Mompoit kini berada dalam kebimbangan berikutan aktiviti pembakaran terbuka sisa buangan bahan binaan di sini, yang didakwa berlarutan selama lebih dua minggu tanpa sebarang tanda akan dihentikan.
Situasi semakin meruncing itu bukan sahaja mencemarkan kualiti udara, malah asap tebal yang terhasil daripada sisa binaan—yang sering kali mengandungi bahan kimia dan toksik—kini mula memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk setempat, terutama kanak-kanak dan warga emas.
Menurut wakil penduduk di kawasan berkenaan, isu ini bukanlah perkara baharu. Aduan rasmi telah dikemukakan kepada pihak berkuasa, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Penampang (MPP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak tahun lalu.
Namun, aktiviti haram tersebut masih berterusan seolah-olah mencabar undang-undang.
”Kami sudah tidak tahan. Asap ini masuk ke dalam rumah setiap malam. Tahun lepas sudah lapor, tapi tahun ini jadi lagi. Kami mahu tindakan tegas, bukan sekadar amaran,” ujar salah seorang penduduk yang terkesan.
Beberapa keping gambar dan rakaman video yang diambil bermula jam 9 malam, Khamis lalu (26 Mac), menunjukkan api masih marak menjulang dengan kepulan asap hitam menyelubungi kawasan sekitar.
Pembakaran dilakukan pada waktu malam, dipercayai taktik pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelak daripada dikesan secara langsung oleh pihak berkuasa pada waktu siang.
Pembakaran sisa binaan seperti kayu dirawat, plastik dan bahan penebat boleh membebaskan gas berbahaya seperti dioxin dan carbon monoxide.
Pendedahan berpanjangan boleh menyebabkan masalah pernafasan, iritasi mata dan kesan jangka panjang yang lebih serius.
Penduduk merayu agar pihak JAS dan MPP melakukan siasatan tapak dengan segera serta mengenakan kompaun atau tindakan mahkamah di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan aktiviti ini dihentikan serta-merta demi kesejahteraan penduduk Kampung Tanaki Mompoit.