TAWAU: Seorang lelaki berumur 29 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) berhampiran Lapangan Terbang Tawau (LTT) di sini, kira-kira jam 2 petang Ahad.
Mangsa yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan jalan utama menuju ke arah LTT itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Zon Merah Hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata polis menerima makluman berhubung kemalangan antara motosikal jenis Honda Wave Alpha dan 4WD Toyota Hilux berkenaan kira-kira jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati pemandu 4WD berumur 45 tahun itu memandu dari Sin Onn menuju ke LTT, apabila mangsa secara tiba-tiba datang dari arah kiri jalan dan memasuki laluan kenderaan tersebut,” katanya pada Isnin.
Jasmin berkata kemalangan disyaki berlaku akibat faktor jarak terlalu dekat sehingga pemandu 4WD tidak sempat mengelak lalu melanggar penunggang motosikal dari bahagian tepi kanan.
Menurutnya, impak perlanggaran menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh dan terperosok ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
“Pemuda terbabit dihantar ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan di wad zon merah,” katanya, menambah pemandu 4WD itu tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya memastikan keadaan lalu lintas selamat sebelum keluar dari simpang atau memasuki jalan utama, bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan orang lain.