Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa kerana memiliki 39.67 gram syabu.
Taham Sakam didapati bersalah melakukan kesalahan itu pada jam 3.40 petang, 17 April tahun ini di kawasan puncak bukit Kampung Lok Buno bersebelahan Jalan Sepanggar, Manggatal.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir ketika menyampaikan keputusan mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah memerintahkan Taham menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya pada 17 April dan seterusnya dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Taham disabitkan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan bersama Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara serta tidak kurang daripada 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Empat saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada Julai tahun ini.
Dalam rayuan Taham memaklumkan mahkamah bahawa beliau mempunyai lapan anak, ibu mereka sudah tiada dan beliau tidak mempunyai dokumen sah.
Beliau merayu supaya hukuman diringankan kerana mempunyai tanggungjawab keluarga dan tiada lagi ibu bapa.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Eugenie A. Gilbert memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, menekankan keseriusan kesalahan tersebut dan memaklumkan bahawa Taham melalui perbicaraan penuh.