Kota Kinabalu: Sabah FC akhirnya mencatat kemenangan pertama mereka dalam saingan liga musim baharu selepas menewaskan Penang FC 3-2 di Stadium Likas pada Ahad.
Bagaimanapun, mereka terpaksa bangkit dari ketinggalan dua kali untuk meraih tiga mata penuh.
Mereka terlebih dahulu ketinggalan pada minit ke-16 apabila Dylan Wenzel-Halls yang tidak dijaga berjaya menjaringkan gol pembukaan dari jarak dekat.
Mereka pantas bertindak balas apabila cuba menyamakan kedudukan dengan percubaan oleh Fergus Tierney dan Stuart Wilkin yang hampir tepat ke sasaran sebelum Ajdin Mujagic menjaringkan gol pada minit ke-21.
Kesilapan oleh Rawilson Batuil pada minit ke-38 apabila beliau cuai memberi bola kepada lawan membolehkan Penang kembali mendahului. Dylan sekali lagi berada pada posisi yang tepat untuk menolak masuk selepas percubaannya sebelum ini ditepis oleh Damien Lim di gawang.
Jafri Chew terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila percubaannya terkena tiang tiga minit kemudian, tetapi dia menebus kesilapan itu pada minit ke-55 dengan rembatan hebat dari jarak 30 ela untuk gol kedua Sabah FC.
Gol kemenangan perlawanan dijaringkan oleh Daniel Ting melalui tandukan pada minit ke-69 hasil sepakan penjuru yang dihantar oleh Stuart Wilkin.
Ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny, berpuas hati dengan respons pemain selepas ketinggalan dua kali untuk meraih kemenangan.
“Saya fikir kami bermula dengan baik dan mempunyai beberapa peluang. Kami dihukum kerana kecuaian dalam pertahanan yang sepatutnya boleh ditangani dengan lebih baik.
“Tetapi kami memberi respons dengan baik. Kami mahu bermain pada tempo tinggi dan pemain semakin berani dengan mengendalikan bola terutamanya pada separuh masa kedua.
“Mentaliti pemain untuk bangkit selepas rehat separuh masa harus dipuji. Ia menunjukkan karakter yang hebat dan semangat untuk menang perlawanan,” katanya.
Tiga mata daripada kemenangan itu juga menyaksikan Sabah FC melonjak ke tangga kesembilan liga dengan tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.
Perlawanan seterusnya ialah aksi timbal balik separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC di tempat lawan pada Sabtu ini (29 Nov).