Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan
(gambar) menggesa rakyat supaya lebih aktif merancang percutian dalam negara selaras dengan usaha merancakan pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Perancangan awal untuk bercuti dalam negara memberi peluang rakyat meneroka keunikan budaya dan destinasi tempatan yang menjadi identiti Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2025 baru-baru ini yang menjadi lokasi terakhir kempen “Explore. Experience. Excite.” anjuran bersama Tourism Malaysia dan Star Media Group (SMG).
Menurutnya karnival seperti SKCCM membantu rakyat mendapatkan maklumat, tawaran dan inspirasi percutian yang lebih tersusun serta mampu milik sekali gus memperkukuh sektor pelancongan domestik.
Sebagai usaha mengurangkan beban kos yang sering menjadi rungutan Khairul Firdaus berkata kementerianya bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan seperti Firefly dan Malaysia Airlines untuk menawarkan pakej mahupun tambang yang lebih berpatutan.
“Dengan adanya promosi yang disediakan rakyat boleh merancang lebih awal dan menikmati manfaatnya,” katanya.
SKCCM 2025 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November turut menampilkan promosi pelancongan eksklusif, persembahan kebudayaan, juadah warisan serta gerai kraftangan tempatan.
Sebanyak 80 peserta pameran termasuk agensi pelancongan, hotel, inap desa dan penggiat seni menyertai program berkenaan.
Beliau berkata komitmen penganjur serta penyertaan pelbagai pemain industri membuktikan potensi besar pelancongan domestik selain menyediakan platform bagi rakyat merancang perjalanan mereka lebih awal.
“Fokus kita adalah memastikan rakyat melihat destinasi dalam negara sebagai pilihan utama,” tambahnya.
Beliau berharap inisiatif seperti SKCCM dapat memacu pertumbuhan industri pelancongan serta menyokong aspirasi Malaysia Madani menjelang TMM2026.