Kota Kinabalu: Empat belas individu didenda keseluruhan RM14,000 oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian di sebuah premis di Wisma Merdeka tahun lalu.
Chin Chu Fieng, 29, Chong Tze Yong, 33, Wong Jun Kai, 21, Ng Wei Tyng, 38, Desmond Chong Khee Vun, 23, Jonathan Johnny, 25, Ng Lun Feng, 23, Jack Fung Yee Chung, 28, Emily Chia Su Jie, 27, Goh Kah Qian, 22, Raven Tang Leong Hong, 24, Rebekah Wong Chee En, 20, Joshua Chong Tet Rong, 22, dan Zhou Pan, 38, warga China, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Mereka masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Kesemua tertuduh didapati melakukan perjudian di tempat awam di premis sebuah agensi pekerjaan di tingkat enam, Fasa 2, Wisma Merdeka, pada jam 2.40 petang, 2 Oktober 2025.
Kesalahan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan sepasukan polis yang bertindak atas maklumat di bawah operasi Op Dadu – Calling Centre telah melakukan serbuan di premis berkenaan pada 2 Disember 2025.
Semasa memasuki sebuah bilik polis mendapati kesemua 14 individu sedang duduk di hadapan komputer dan berperanan sebagai pengendali khidmat pelanggan serta promoter bagi aktiviti perjudian dalam talian menggunakan aplikasi pesanan seperti Google Chat dan BoChat.
Siasatan mendapati premis tersebut digunakan sebagai “calling centre” untuk mempromosikan platform perjudian dalam talian melalui pelbagai laman web.
Semua peralatan yang digunakan dalam operasi itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
Laporan pakar mengesahkan peranti yang dirampas digunakan untuk mengurus dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian termasuk mengendalikan akaun pelanggan, memudahkan pertaruhan serta memproses kemenangan.
Laporan itu turut mendapati platform berkenaan beroperasi berasaskan konsep “permainan nasib” di mana pemain boleh menukar mata terkumpul kepada wang tunai atau hadiah bernilai wang.
Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan mereka pesalah pertama, mengaku bersalah pada peluang terawal dan tidak memperoleh keuntungan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam, kekerapan kes seumpama itu serta kesan sosial yang lebih luas.