Kota Kinabalu: Seorang warden SMKA Tun Datu Mustapha memilih untuk tidak menjawab soalan peguam yang menyoalnya mengenai kemungkinan wujud kecuaian pihak sekolah dan asrama dalam insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Miswati Lundu, 38, membuat keputusan itu ketika disoal peguam Datuk Ram Singh mengenai isu kecuaian pada Khamis di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ram: Berdasarkan dokumen yang dikemukakan di mahkamah adakah cikgu bersetuju bahawa dalam kes ini terdapat kecuaian oleh pihak sekolah dan asrama dalam mencegah kejadian pada 15 hingga 16 Julai? Adakah kemungkinan wujud kecuaian?
Koroner: Cikgu sila jawab soalan kerana saya perlu jelaskan bahawa ini adalah ‘soalan membabitkan pendakwaan.’ Cikgu boleh memilih untuk menjawab atau tidak.
Miswati: Dalam hal ini saya memilih untuk tidak menjawab.
Ram: Maaf cikgu memilih untuk tidak menjawab?
Miswati: Ya saya memilih untuk tidak menjawab.
Sepanjang prosiding Ram mengemukakan beberapa dokumen termasuk Buku Konsep dan Manual Sekolah Selamat: Panduan Pelaksanaan Menjadikan Sekolah, Komuniti dan Keluarga Selamat Untuk Kanak-Kanak.
Merujuk buku itu Ram bertanya sama ada Miswati telah mengikuti prosedur kaunselor seperti yang dinyatakan pada halaman 113 dan Miswati menjawab bahawa beliau telah mengikuti prosedur tersebut.
Ram: Tetapi tadi cikgu kata cikgu tidak memaklumkan kepada ibu bapa, maknanya sekurang-kurangnya satu bahagian prosedur tidak dilakukan betul?
Miswati: Prosedur kaunselor ini diperlukan untuk kes tertentu yang mengikut prosedur ini.
Ram: Jadi prosedur itu telah dibuat?
Miswati: Untuk kes tertentu kita perlu ikut begini.
Ram: Tetapi untuk kes ini adakah ia dibuat? Bukan kes tertentu — kes Zara.
Miswati: Untuk kes Zara tidak.
Ram: Cikgu jawab sahaja secara terus terang.
Miswati: Saya telah jelaskan mengikut prosedur kaunselor di sini kerana prosedur ini untuk kes serius.
Ram: Jadi kes Zara dianggap kes serius?
Miswati: Zara ya itu kes serius.
Menjawab soalan tambahan Miswati yang juga saksi ke-48 dalam inkues Zara mengakui bahawa buku panduan Sekolah Selamat adalah penting.
Sementara itu Miswati mengesahkan bahawa beliau telah menjalankan sesi kaunseling dengan lima pelajar, empat daripadanya merupakan remaja yang didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-kanak.
Beliau turut menyediakan laporan berkaitan sesi tersebut.
Menjawab soalan peguam Clarice Vyonne Conrad, Miswati berkata dalam laporanya beliau menyatakan bahawa pelajar-pelajar itu mengalami trauma psikologi.
Clarice: Boleh cikgu jelaskan kepada mahkamah apa yang dimaksudkan dengan trauma psikologi dialami lima pelajar ini?
Miswati: Mereka antara yang terakhir berjumpa Zara kemudian berlakunya kejadian yang tidak diingini sehingga timbul pelbagai tanggapan negatif. Mereka merasakan diri terlibat kerana menjadi antara individu terakhir melihat Zara. Ini menyebabkan perasaan takut dan bersalah.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa lima pelajar perempuan tersebut diganggu secara ejekan oleh pelajar lelaki berkaitan insiden Zara.
Menurutnya apabila kejadian itu berlaku semua pelajar — lelaki dan perempuan — mengetahuinya dan tidak pelik apabila ada pelajar lelaki mengambil kesempatan mengejek pelajar perempuan tersebut.
Clarice: Sebagai guru kaunseling adakah ejekan pelajar lelaki terhadap pelajar Tingkatan Empat itu boleh diklasifikasikan sebagai buli lisan?
Miswati: Berdasarkan apa yang saya perhatikan ia berlaku pada hari kejadian sahaja dan saya tidak lihat ia berulang. Jadi jika mahu diklasifikasikan sebagai buli lisan, ia berkemungkinan.
Inkues bersambung Jumaat.