Kota Kinabalu: Seorang lelaki penganggur berusia 23 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas lima pertuduhan membabitkan kes menipu dan memiliki wang yang dipercayai diperoleh secara tidak jujur.
Mohammad Harith Ihsan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin dan Wan Farrah Farriza Wan Ghazali terhadap semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Di hadapan Marilyn, Harith didakwa menipu seorang wanita Samidah Adim di Kampung Rampayan, Manggatal pada jam 1.30 petang, 19 Februari lalu.
Tertuduh didakwa memperdaya pengadu supaya menyerahkan sebuah kereta Proton Saga Premium S kononnya untuk pemasangan body kit selain mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM370 yang tidak akan dilakukan sekiranya tidak diperdaya.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 April untuk pengurusan kes praperbicaraan (PTCM) dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,700 dengan dua penjamin serta syarat tambahan supaya melapor diri di balai polis sekali sebulan.
Di hadapan Wan Farrah, Harith turut didakwa menipu seorang lagi mangsa Marlini Dusimin pada jam 3.35 petang, 22 Februari lalu di hadapan Public Bank Donggongon, Penampang.
Dia didakwa memperdaya mangsa dengan mendakwa menjual sebuah Proton Saga sebelum mendorong mangsa memindahkan wang RM5,000 ke akaun Touch ‘n Go miliknya.
Pertuduhan itu juga dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 23 April untuk PTCM dan membenarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin.
Selain itu Harith turut berdepan tiga pertuduhan berasingan kerana memiliki wang yang disyaki diperoleh secara tidak jujur dalam akaun Bank Islam miliknya.
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa memiliki RM18 yang dipercayai diperoleh secara tidak jujur daripada seorang individu Rizamier Mohd Fhadzree, di Kampung Tebobon, Manggatal pada jam 8.16 malam, 29 Ogos 2025.
Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki RM45 daripada individu sama pada jam 11.24 pagi, 31 Ogos 2025 manakala pertuduhan ketiga melibatkan RM21 pada jam 2.09 petang hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah Cap 80) yang memperuntukkan denda sehingga RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 April untuk PTCM dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri dan Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.