SANDAKAN: Seramai tujuh individu dikenakan tindakan tegas dalam operasi penguatkuasaan sepanjang Bulan Ramadan yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar Sandakan pada Rabu.
Operasi berkenaan dijalankan di kawasan belakang Bangunan Wisma Saban, Pasar Besar, belakang Pasar Ikan serta sekitar beberapa restoran.
Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Sandakan Ustaz Rahmin Arman berkata hasil operasi mendapati individu terbabit melakukan kesalahan seperti merokok serta makan dan minum secara terbuka di tempat awam pada siang hari.
“Seramai empat individu didapati merokok manakala tiga lagi makan di tempat awam.
“Semua yang terlibat dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesucian bulan Ramadan terus terpelihara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghormati bulan Ramadan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.