Sindumin: Tiga isu utama membabitkan infrastruktur jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih terus menjadi rungutan penduduk di daerah ini.
Calon Parti Solidariti Tanah Airku (Star) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sindumin Moktar Matusin berkata meskipun terdapat sedikit peningkatan dari aspek bekalan elektrik terutamanya di kawasan pekan namun masalah air bersih yang kerap terputus masih menjadi isu harian penduduk setempat.
“Bayangkan sudah 60 tahun kita merdeka tetapi rakyat di daerah ini masih menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai isu-isu yang belum selesai,” katanya.
Beliau berkata perancangan rapi diperlukan bagi memajukan daerah itu walaupun kos penyelesaian adalah tinggi.
“Saya bukanlah berjanji tetapi kita akan bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk membangunkan dan memberi keutamaan kepada isu-isu tersebut,” katanya.
Moktar turut menegaskan bahawa keadaan jalan raya di kawasan itu masih “kucar-kacir” dan belum disiapkan sepenuhnya hingga kini.
“Contohnya laluan dari Sindumin ke Kota Kinabalu terutama pada waktu malam.
“Tiada papan tanda, jalan berlubang dan sebagainya boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan merancang secara teratur bersama agensi berkaitan bagi menilai keadaan sebenar dan mencari penyelesaian yang menekankan aspek keselamatan.
“Jika saya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) nanti kita akan rancang pembangunan yang lebih tersusun dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Moktar yang juga anak jati Sipitang berasal dari Sindumin merupakan calon Star dan bersaingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bagi kerusi Sindumin.