Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata ia tentu mudah bagi Sabah Action Body Advocating Rights (Sabar) mengumpul RM500,000 yang diperlukan bagi menampung kos guaman untuk menuntut hak pelantar benua Sabah – jika setiap wakil rakyat yang dipilih dan/atau dilantik menyumbang RM5,000.
NGO itu memerlukan RM500,000 menjelang 30 April bagi meneruskan cabaran undang-undang di Mahkamah Persekutuan.
“Tindakan undang-undang ini bertujuan menuntut semula hak pemilikan Sabah ke atas dasar laut, pelantar benua dan sumber semula jadi yang terkandung di dalamnya.
“Hak terhadap kekayaan sumber ini telah ditetapkan secara sah seawal 1954 melalui The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Bagaimanapun, kawalan negeri ke atas wilayah maritimnya telah dihadkan susulan pelaksanaan Akta Laut Wilayah 2012 oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya di Facebook, pada Khamis.
Madius, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli berkata, “Di Sabah, kita mempunyai sejumlah 111 wakil rakyat di pelbagai peringkat, terdiri daripada 25 Ahli Parlimen, 73 Adun, tujuh Senator dan enam Adun Dilantik.
“Jika kesemua 111 Yang Berhormat ini menyumbang RM5,000 setiap seorang, kita akan berjaya mengumpul RM555,000.
“Jumlah ini bukan sahaja melebihi sasaran, malah menjadi bukti kukuh solidariti kita dalam mempertahankan kepentingan negeri,” katanya.
Beliau memuji inisiatif awal yang ditunjukkan oleh Ahli Parlimen Kudat Datuk Verdon Bahanda dan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang masing-masing menyumbang RM5,000 kepada kempen tersebut.
Beliau menegaskan perjuangan Sabar sebagai kumpulan yang digerakkan oleh rakyat tanpa kaitan dengan parti politik atau syarikat telah menunjukkan perkembangan positif selepas mahkamah memberikan kedudukan undang-undang (locus standi).
Kejayaan mengatasi halangan awal itu membolehkan Sabar membawa kes berkenaan ke mahkamah dan mewakili suara rakyat Sabah.
Sehubungan itu, Madius mengajak pemimpin lain menyokong usaha berkenaan bagi memastikan kekayaan sumber negeri dapat dituntut semula dan dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur, sekolah dan hospital di Sabah.
“Selain itu, kempen kutipan dana ini juga terbuka kepada orang ramai yang ingin menyumbang bagi menampung yuran guaman dan kos penyelidikan mahkamah.
“Sumbangan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun bank pemegang amanah berdaftar Sabar di CIMB (8010739874) atau melalui DuitNow QR (Sabar-QR),” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Keningau Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, Jonathan Yasin (Ranau), Verdon Bahanda (Kudat), Senator Tan Sri Anifah Aman, Datuk Nelson W Angang, Datuk Edward Linggu, Adun Paginatan Datuk Rusdin Riman serta bekas Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) merangkap Adun Dilantik Datuk Roger Chin.